Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pengabdi Setan: Kesenjangan rohani dan keyakinan alam lain

"Kami tidak sholat, Pak."

Bagaimana cara untuk menghadirkan pengalaman sinema yang membawa bersamanya nilai-nilai (psyche) setempat yang berdaya mengusik daerah terpencil dalam fikiran khalayak — yang bertolak pula dari sebuah penerimaan subjek yang universal sifatnya — lalu ingin dihamparkan ke layar perak dengan penuh asyik dan rasuk? Atau adakah sinema tidak perlukan semua itu?

Kira-kira inilah persoalan yang muncul di fikiran saya selepas menonton filem terbaru garapan Joko Anwar, Pengabdi Setan, sebuah filem seram Indonesia yang sejak minggu lalu mula ditayang di pawagam Malaysia dan menjadi buah mulut ramai orang.

Kata "universal" yang dimaksudkan ialah untuk sebuah naratif cerita seram. Walau apa juga perincian atau gaya olahan yang diberikan — dan sama ada kita menyukainya atau tidak — cerita seram dalam caranya yang tersendiri paling tidak, tetap akan mampu mengikat dan memaku tumpuan kolektif kepada dirinya tanpa mengira apa bahasa atau latar yang menjadi penyandarnya.

Ia barangkali pada kebanyakan waktu tidak terlalu bergantung kepada komunikasi bahasa pengucapan, sebaliknya lebih menggoncang dengan imej-imej yang mengganggu naluri dengan upaya untuk membisik halus; kadang-kadang menjadi, tetapi ada juga waktu ia gagal kerana terlalu berlebih-lebihan.

Imej paling kuat yang memikul beban keseluruhan dalam Pengabdi Setan tidak lain ialah watak Ibu Mawarni, yang diperankan dengan sangat berkesan oleh Ayu Laksmi, yang di dalam kehidupan sebenarnya merupakan seorang penyanyi — bermula dengan genre rock di era 1980-an kemudian beralih ke irama raggae sebelum hilang menyepi.

Dia kembali lagi setelah itu dengan jiwa yang disalin; sebagai penyanyi muzik-muzik tradisional Bali.

Tanpa perlu berbasa-basi dengan urutan dialog yang panjang-panjang, dia berhasil membuatkan penonton selalu berasa dihambat sesuatu hal yang tak jelas, hanya dengan senyuman dan bunyi locengnya yang ngeri — biarpun setelah ditanam dalam kubur.

Selubung hitam dalam filem

Pengabdi Setan mempunyai keindahan-keindahan dunia gelap yang membelenggu itu. Dan, seperti juga ketika kita ingin melakukan sesuatu pekerjaan lain, menonton filem seram adalah seperti merelakan diri untuk direnggut dari dunia logika dan memasuki sebuah realm yang nyaris-nyaris tidak dapat dihuraikan dengan kemas oleh akal dan sekaligus menerbitkan rasa melankolia ngilu yang seru.

Suasana dan kejadian-kejadian kelam yang dipersembahkan dalam filem ini juga tak lokek daripada membikin bulu roma berdiri dan merinding.

Saya tak punya banyak masalah dengan filem ini. Pemegang peran secara umumnya memberi kesepaduan yang kukuh dan membantu menyampaikan ceritanya dengan sangat kemas.

Tetapi, walaupun saya sangat menikmatinya, ada beberapa hal yang sedikit mengganggu di belakang kepala kemudian.

Pertama, kerana kisahnya masih berjalan pada teras tengah yang sangat klise — sebuah rumah yang dihuni oleh semangat jahat.

Itu mungkin bukan hal yang besar kerana Pengabdi Setan ini ialah sebuah bikinan semula berdasarkan sebuah filem dengan judul sama yang diterbitkan pada 1980-an.

Dengan jalan cerita yang berbeza sama sekali, teras yang dimaksudkan ini mungkin menjadi semacam homage oleh sang sutradara terhadap versi asal filem berkenaan.

Tidak dinafikan, rumah tempat pengambaran filem ini - yang terletak di Bandung - terang-terang sangat cocok untuk membawakan selubung hitam yang diperlukan oleh filem ini.

Ia bahkan sangat cemerlang; dengan wajah yang murung, dinding yang kumuh dan telaga air di pancur belakang dalam rumah.

Semua ini boleh dibuat-buat, tetapi untuk Pengabdi Setan, rumah itu sendiri mempunyai roh dan luka sendiri yang sebenar dan bukan diada-adakan.

Khabarnya sejak lebih 20 tahun lalu ia tak lagi berpenghuni.

Bukannya tak baik

Selain rumah, ada beberapa lagi babak yang dikekalkan, tentunya dengan suntikan garapan baru yang berbeza.

Sebagai contoh, kemalangan yang melibatkan Hendra yang menunggang motosikal sebelum kemalangan dilanggar lori.

Selebihnya, jalan cerita asal yang ada dijungkir-balik nyaris secara menyeluruh dan diberi nafas baru.

Cumanya, saya tertanya-tanya mengapa artikulasi umum filem ini - yang diterbitkan di Indonesia, sebuah negara memiliki latar belakang dunia halus dan mistik yang kaya - memandang semangat jahat, setan atau hantu dari sudut yang masih berlingkar di sekitar perwakilan idea seperti yang difahami oleh budaya dari luar Nusantara, misalnya?

Tidak dapat tidak, di dalam pengamatan terbuka terhadap filem-filem yang diterbitkan dalam rentang waktu yang tak jauh dengannya, Pengabdi Setan akan disandingkan juga dengan filem-filem seram kontemporari lain yang bermunculan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Usai menonton, filem ini tidak mengizinkan saya untuk mendapatkan pengalaman daripada sebuah pengkisahan berkait hantu setan yang lebih berakar pada tradisi kita sendiri, walau entah apalah ertinya perkara ini untuk sebuah filem komersial.

Sebaliknya, ia memberi getus yang hampir sama misalnya ketika selesai menonton filem seperti The Conjuring.

Bukanlah pula bermaksud ini satu hal yang tidak baik.

Pertembungan semangat jahat dan penyucian jiwa melalui amalan beragama serta penampakan hantu seperti pocong sekali imbas tidaklah memadai untuk melayani sisi yang dimaksudkan.

Penerokaan lebih mendalam terhadap dunia hitam dan mistik kuno daerah Nusantara mungkin saja akan lebih menarik.

Pengabdi Setan, dalam produksi dan tataan visualnya yang sangat baik, meninggalkan ruang itu untuk diisi oleh filem-filem lain selepas ini, agaknya.

Berbaloi ditonton

Selain itu, muzik-muzik yang berkumandang di sepanjang filem ini berjalan juga melengkapi ketegangan visual yang ada. Ini terutama sekali lagu Kelam Malam nyanyian The Spouse melengkapkan mood dan tak akan menjadi lebih baik sekiranya ada lagu lain yang mengambil tempatnya.

Ia disampaikan oleh Aimee Saras, seorang penyanyi wanita dengan suara lunak bernada klasik.

Dalam filem ini, ia menjadi lagu yang dinyanyikan Ibu Mawarni ketika di puncak kerjayanya sebagai penyanyi dulu.

Sedikit tentang cerita yang membangunkan filem ini. Ibu Mawarni pada usia mudanya gagal hamil lalu membuat perjanjian dengan meminta agar dikurniakan anak melalui sebuah perkumpulan kultus pemuja setan.

Antara syaratnya, anak terakhir yang dilahirkan itu perlu dikembalikan kepada mereka menjelang usianya genap tujuh tahun. Kisah di dalam filem ini adalah berkisar tentang perkara ini.

Banyak juga hal yang akan membuatkan penonton akan terus mengingati filem ini. Antaranya, imej hantu Ibu Mawarni yang muncul dari dalam telekung anaknya Rini ketika di tikar sembahyang.

Serta mungkin juga kejujuran-kejujuran polos dan nakal yang ada; Rini ketika hadir ke perkuburan Islam hanya berpakaian singkat paras paha, serta jawapan Bapa (diperankan oleh Bront Palarae) ketika ditanya oleh Ustaz — juga ketika di tanah perkuburan — yang tak pernah melihat keluarga itu di surau; "Kami tidak sholat, Pak."

Apa pun, Pengabdi Setan tidaklah mengecewakan. Hanya saja saya membayangkan kemungkinan-kemungkinan lain yang boleh terhasil dengan tampilan berkualiti seperti yang ditunjukkan oleh filem ini.

Sementara ia masih berputar di panggung, eloklah bertandang segera; berbaloi untuk luangkan masa dan wang untuk filem yang digarap teliti seperti ini.

Lihat Komen
ADS