Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Beberapa minit sebelum jam enam. Di luar pasar raya Sogo sudah bersidai orang ramai yang memenuhi ruang pada anak tangga berhadapan dataran luarnya.

Tiga orang anak muda sedang memasang dan mencuba peralatan muzik dan sistem audio mereka di laluan siar kaki bersebelahan Jalan TAR (Tunku Abdul Rahman).

“Tunggu sekejap ya, tuan-tuan! Main di sini, beginilah! Kena pasang sendiri. Kalau hujan, kena bawa semua ke atas pula,” kata salah seorang daripada mereka lewat mikrofon yang sudah siap dipasang.

Sebentar nanti, dialah yang akan menyanyi sederetan lagu-lagu sambil bermain gitar utama.

Semakin lama, anak tangga luar Sogo semakin dipenuhi manusia sehingga tiada lagi ruang untuk duduk. Yang datang kemudian terpaksa berdiri.

Orang ramai yang lalu-lalang sama ada terpengaruh dengan suasana itu lalu mengambil tempat mereka masing-masing, atau berlalu begitu sahaja tanpa peduli apa-apa.

Beg-beg yang mereka bimbit tertera label tempat-tempat membeli-belah yang lazim dikunjungi orang Melayu sekitar Kuala Lumpur - Jakel, Parkson, Sogo sendiri dan deretan kedai-kedai kecil di Jalan TAR.

Rambut menggerbang, jeans koyak

Melihat kepada bilangan khalayak yang kian ramai berkumpul itu, datang beberapa orang mengambil kesempatan mengedar risalah iklan dan perniagaan mereka.

Antaranya dari sebuah restoran mamak yang berpusat nun jauh di Bangi. Ada juga iklan program karnival muzik yang akan dijalankan tidak berapa lama lagi anjuran sebuah pertubuhan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan, Kementerian Belia dan Sukan.

Tidak ketinggalan satu NGO atas nama Kindness Malaysia yang mengedarkan satu tiub berisi manisan yang diikat bersama sekeping kad bertulis kata-kata hikmah: Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain.

Selesai memasang peralatan, tiga orang anak muda itu melaksanakan sound-check pula. Tidak lama kemudian, seorang lelaki dalam lingkungan usia 60-an, berambut putih panjang menggerbang dengan baju T lengan pendek berwarna hitam dan jeans koyak datang menyertai mereka.

Jiwa rock ternampak jelas sekali pada zahir orang tua itu. Sekali imbas, susuk tubuhnya mengingatkan kita kepada Papa Rock Ramli Sarip. Cuma bezanya lelaki itu datang dengan berkerusi roda.

Selepas lama menanti, lagu pertama dinyanyikan. Lagu dari Alleycats yang tidak saya ingat tajuknya.

Durian punca panas

Sistem bunyinya baik. Bunyi gitar utama, kedua dan pukulan dram dapat didengar dengan jelas, tidak tenggelam dengan bunyi bising kenderaan yang bersimpang-siur berhampiran tempat persembahan.

Cuma suara si penyanyi agak serak walaupun kelunakannya ada. Katanya selepas lagu pertama: “Ini sebab makan durian dua tiga hari ni. Tekak jadi panas. Maaflah.”

Ya, durian boleh memanaskan tekak. Selain itu, di Lembah Klang ini, harganya yang boleh mencecah sehingga RM80 sekilogram itu juga boleh memanaskan hati.

Masalah si penyanyi disedari seorang rakannya di sana yang bergegas membelikan sebungkus air bungkus ikat tepi sebelum disangkutkan ke tiang mikrofon.

Harap-harap dapat melegakan tekak rakannya. Banyak lagi lagu yang mahu dimainkan.

Untuk mendapatkan bekalan air minuman memang tidak sukar di situ. Tidak jauh dari sana ada seorang remaja bersinglet, berjeans biru dan bertopi dengan gaya rock menyediakan bekalan air minuman dalam botol 500ml dan tin 325ml dengan harga mampu milik.

Tin-tin dan botol minuman disusun atas sekeping papan kecil yang dilintangkan atas kotak polisterin berisi ais dan stok jualan untuk petang itu. Sebentar lagi dia juga akan menggoyang-goyangkan kepala mengikut rentak lagu yang dinyanyikan.

Petang itu jadi makin meriah dengan kehadiran penonton yang bertambah dan lagu-lagu yang semakin rancak. Antaranya Tamalli Ma’ak oleh Amr Diab, Hotel California oleh The Eagles dan lagu dangdut dari seberang.

'Ramli Sarip' turut menyanyi, berselang-seli dengan si pemuda. Orang yang lalu-lalang tidak mengganggu persembahan, malah mereka perlu berada di sana untuk menjadikan persembahan itu seberapa alami yang boleh.

Ada kejutan lagi

Antara yang lalu-lalang itu termasuklah seorang ibu muda yang menolak kerusi roda. Dia terlalu menonjol untuk tidak dipedulikan kerana kerusi roda yang ditolaknya memuatkan dua orang yang dipercayai anak-anaknya yang masih kecil.

Seorang duduk di depan, manakala yang di belakang sedang berbaring. Dari keadaan luarannya, anak kecil yang berbaring itu seperti menghidap cerebral palsy.

Jika ada yang tertanya-tanya bagaimana kerusi roda boleh memuatkan dua orang, jawapannya adalah kerusi roda itu telah diubah suai sedemikian rupa sehingga dilengkapi bumbung yang boleh meneduhi anak kecil itu daripada sinaran terik matahari.

Dan rupa-rupanya ibu muda itu ada kejutan seterusnya untuk para khalayak.

Sambil melewati para penghibur di sana, dia menjatuhkan sekeping not seringgit ke dalam beg yang dibiarkan terbuka; yang memang disediakan untuk para penonton menghulurkan sedikit sumbangan.

Tindakan tersebut sedikit mengejutkan kerana rata-rata penonton yang bersantai di situ lebih suka mendapat hiburan percuma.

Buktinya seorang daripada anak muda yang bertugas mengelilingi orang ramai dengan membawa uncang sebentar tadi, tidak mendapat sambutan yang diharapkan.

Banyak dapat diperhatikan

Kedua, ibu muda itu sendiri sekira-kira lebih memerlukan wang jika dilihat keadaan fizikalnya dan dua anak kecil yang dibawa bersama-sama.

Tapi, barangkali jiwanya lebih besar daripada kesukaran yang dia lalui.

Suhu merosot apabila warna petang makin suram. Tapi jangan risau kerana malam di Kuala Lumpur tidak berwarna hitam, dan lampu dari tiang-tiang di tepi jalan, pasar raya dan kedai-kedai akan sentiasa menghangatkan warganya yang makin hidup biar senja telah terlewat.

Banyak yang boleh diperhatikan di Kuala Lumpur - ibu kota yang tidak tidur, setia menaungi ribuan manusia yang mencari apa-apa untuk dinikmati, memenuhi keinginan-keinginan yang masih belum terpenuhi.

Para pemuda buskers, remaja penjual minuman, ibu muda dengan dua anak kecil, 'Ramli Sarip', pengedar risalah, penggiat NGO, penonton hiburan percuma adalah warna-warni yang menghias kanvas besar kota metropolitan ini.

Tunggulah sehingga malam tiba, warna-warna ini akan lebih terserlah dan menarik pandangan mata.

Lihat Komen
ADS