Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
100 penggiat seni sertai Gelanggang Budaya N Sembilan

Seratus penggiat seni budaya dan penyair dari seluruh negara termasuk 16 dari Sulawesi Tenggara, Indonesia dan lima dari Singapura akan menyertai program Gelanggang Budaya Negeri Sembilan 2017 di perkarangan Balai Undang Luak Johol, Kuala Pilah pada Sabtu dan Ahad ini.

Program pertama kali diadakan itu adalah anjuran Kerabat Seni Negeri Sembilan (KSNS) dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) dan Balai Undang Luak Johol.

Pemangku Pengarah LMNS, Aziz Mohd Gorip berkata tujuan utama program itu adalah untuk menyebarluas serta memberi pendedahan dan kesedaran mengenai adat budaya Negeri Sembilan, dan Johol khususnya.

"Antara acara akan diadakan sepanjang program dua hari itu ialah pameran berkaitan adat dan budaya oleh agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan, wacana budaya dan Malam Apresiasi Seni menampilkan artis dan penggiat seni.

"Selain itu, kita turut melancarkan buku Antologi Langit Kita. Saya harap orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan pelbagai cabang budaya yang akan dipersembahkan pada program itu,” katanya pada sidang media, di Seremban hari ini.

Turut hadir Pengerusi KSNS, Rosman Md Shah dan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Undang Luak Johol, Md Ghazali Md Yasin.

Sementara itu, Rosman berkata menerusi program itu, pihaknya cuba mengangkat kembali budaya tempatan seperti Tumbuk Kalang dan Bongai serta kebudayaan Orang Asli yang sudah lama ditinggalkan.

"Pembabitan penggiat seni dari Sulawesi Tenggara dan Singapura merupakan kesepakatan dengan KSNS untuk mengembangkan seni budaya bangsa," katanya.

Md Ghazali pula berkata masyarakat mesti didedahkan kepada kekayaan warisan budaya kerana warisan budaya tradisional kini menghadapi ancaman kepupusan.

"Budaya tradisional mencakupi amalan dan cara hidup orang Melayu. Hal ini termasuklah pakaian, makanan, adat resam, seni, dan sebagainya. Tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budayanya. Oleh itu, warisan budaya ini harus dikekalkan kerana mempunyai identiti tersendiri.

"Oleh itu, usaha memupuk dan memelihara budaya ini tidak seharusnya dipandang ringan. Marilah kita bersama-sama memeliharanya supaya terus subur meredah zaman, tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan," katanya.

Program itu dijangka dirasmikan Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Muhammed Abdullah, manakala majlis penutup oleh Duta Besar Malaysia ke Kemboja Datuk Seri Hasan Malek. -Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS