Biasanya mencuba kali pertama itu memang payah. Sebab itu hampir saja pelakon Aeril Zafrel menolak tawaran menggalas watak pemprofil jenayah dalam karya adaptasi novelis terkenal Ramlee Awang Murshid, Mandatori.
Selain ragu, perasaan takut juga bermain-main di fikiran Aeril. Namun semuanya sedaya upaya cuba diatasi kerana dia tidak mahu melepaskan peluang yang mungkin hanya datang sekali.
“Saya memang hampir berputus asa untuk terima tawaran menjayakan watak sebagai Inspektor Norman Abdullah. Tetapi bukan selalu dapat peluang begini tambahan pula saya amat meminati karya Ramlee.
“Perasaan gentar itu datang selepas melihat pelakon yang turut hadir di sesi uji bakat semuanya hebat belaka, macam Amerul Affendi, Alving Wong dan Chew Kin Wah,” katanya.
Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 29, ditemui pada majlis pratonton drama bergenre thriller jenayah itu Kuala Lumpur semalam.

Untuk rekod, Aeril memang tidak pernah membawa watak berkaitan polis dalam mana-mana drama mahupun filem sebelum ini.
Namanya dikenali ramai melalui drama seperti Senja Permai, Patahnya Sebelah Sayap dan filem Budak Pailang.
Cabaran perlu didepani suami kepada pelakon Wawa Zainal itu tidak berakhir di situ.
Belum dibuat pengarah tempatan
Sebaik mula masuk ke lokasi penggambaran ada lagi cabaran lain.
Katanya, Mandatori memerlukan pengorbanan yang tidak disangka-sangka.
“Ini naskhah paling susah pernah saya pernah bawa sampai rasa macam tidak boleh buat. Tertekan pun ada juga sebab kadang-kadang kami (pelakon) bekerja hingga 48 jam.
“Tetapi saya mencari kekuatan untuk teruskan dan bekerja lebih keras dari sebelum ini kerana khuatir prestasi diberikan tidak setanding dengan pelakon lain,” katanya.
Mandatori yang akan disiarkan melalui saluran Astro First Eksklusif saluran 480 dan platform digital On Demand pada 14 Disember ini mengisahkan Inspektor Norman ditugaskan menyiasat kes siri pembunuhan yang berkait rapat antara satu sama lain.

Pegawai polis itu berkebolehan menggunakan kaedah siasatan luar biasa apabila dia berkeupayaan ‘berkomunikasi’ dengan mayat melalui mindanya.
Dalam pada itu, Aeril meminta orang ramai tidak terlalu cepat menghakimi drama yang padanya bukan biasa-biasa itu biarpun ia dikatakan hampir menyerupai ciri-ciri drama penyiasatan biasa dihasilkan pengarah di luar negara.
Aeril yakin karya berkenaan mampu membeli jiwa penonton kerana katanya, garapan sebegitu tidak pernah dibuat oleh mana-mana pengarah tempatan sebelum ini.
“Jika penonton membuat perbandingan dengan cerita dari luar negara, ia bukan masalah besar kerana banyak juga drama tempatan juga tidak kurang bezanya.
“Bagaimanapun jika diberi komen negatif, saya terima kerana itu adalah demi kebaikan di masa depan,” katanya.
