Dikatakan bakal menamatkan tayangannya hari ini, mungkin masih ada sedikit sinar buat filem Jibam.
Sebahagian besar daripada 82 pawagam di seluruh negara yang menayangkan karya adaptasi novel kartunis terkenal Ujang itu dikatakan akan mula menghentikan tayangan hari ini.
Namun difahamkan penerbit Jibam sudah cuba merayu kepada pengendali pawagam supaya melanjutkan tayangan masing-masing untuk minggu kedua. Keputusan mengenainya dijangka diketahui hari ini.
Ditanya perasaannya Ujang mengakui dia kecewa dengan perkembangan terbaru itu.
Kata Ujang, Jibam bukannya tidak pernah mendapat sambutan menggalakkan, malah meraih kutipan memuaskan dan panggung yang menayangkan filem itu penuh selama beberapa hari di Terengganu.
“Memang timbul perasaan ralat sebab saya tidak dapat menunjukkan karya yang dihasilkan selama 10 tahun dengan sepenuh hati,” katanya kepada Malaysiakini.
Melalui media sosial sebelum ini, Ujang - atau nama sebenarnya Ibrahim Anon - turut meluahkan perasaan atas takdir yang menimpa Jibam.

“Dua hari lagi filem Jibam akan dihentikan tayangan di pawagam seluruh Malaysia. Kerajaan Zimbabwe tak dapat nak tolong.... Finas tak dapat nak tolong.... kami hanya memohon bantuan Allah agar mesej-mesej Jibam ini dapat disampaikan pada khalayak ramai,” katanya di Facebook.
Jibam yang menelan belanja RM1 juta itu pernah dilancarkan pada 2007 dengan menyenaraikan pelakon berbeza daripada yang ada sekarang.
Namun, akibat berdepan kekangan kewangan dan kegagalan mendapatkan pelabur, hasrat Ujang untuk mempertontonkan Jibam ke layar lebar tidak dapat dipenuhi ketika itu.
Tak mesti pelakon terkenal
Mempunyai 90 peratus jalan cerita sama seperti dihasilkan pelukis kartun berkenaan, Jibam yang mendapat arahan Che Mie itu mengisahkan kanak-kanak istimewa yang sering dibuli dan dicerca masyarakat.
Watak Jibam ditunjangi pelakon Mohd Ariff Abdullah - yang bukan anak biasa-biasa, sebalikya seorang istimewa. Dia pelajar berusia 12 tahun yang disahkan mengidap disleksia dalam kehidupan realitinya.
Filem diterbitkan Spektra Selasih Sdn Bhd dan diedarkan Empire Film Solution Sdn Bhd itu mula ditayangkan pada 7 Disember lalu.
Selain Mohd Ariff, Jibam turut dijayakan pelakon lain seperti Bohari Ibrahim, Kaizar Saisi, Zaidi Omar, Kamarool Yusof, Esma Daniel, Syafie Naswip dan Mia Ahmad.

Berdasarkan pemilihan karakter yang dimonopoli pelakon senior itu juga, Ujang tidak menolak kemungkinan Jibam terpaksa berdepan kekangan di pasaran kerana tampil tanpa wajah bernilai komersial semasa.
“Saya suka cuba yang begini (pelakon). Bagi saya untuk sesebuah filem berkualiti tidak semestinya dibarisi pelakon terkenal, tapi yang penting mereka pandai menghayati watak yang diberikan,” katanya.
Dalam pada itu, menambah kemerosotan peluang Jibam untuk terpampang lebih lama di layar lebar, kata Ujang, ialah kegagalan bersaing dari segi promosi besar-besaran.
“Kami bermain di atas gelanggang tidak sama rata apabila ada filem dengan belanja sangat besar - seperti Star Wars - The Last Jedi dan Jumanji - bakal ditayangkan pada waktu yang berhampiran," katanya.
Justeru Ujang tampil dengan cadangan supaya satu panggung dibina buat menayangkan "karya-karya miskin" seperti yang diusahakannya itu.
"Setidak-tidaknya pihak kerajaan boleh beri sokongan dengan cara itu,” katanya.

