Kematian tetap kematian dan ia membawa khabar sedih. Itu adalah lumrah manusia namun sikap sesetengah orang yang tidak sensitif dengan kesedihan ternyata tidak disenangi penyanyi rap Caprice.
Dia yang memang kerap memperkatakan isu-isu semasa melalui media sosialnya berkata tidak wajar ada orang mempersendakan isu penyanyi K-pop, Kim Jong-hyun, yang mati pada Isnin lalu.
Bagi Caprice, tidak ada salahnya seseorang manusia melalui fasa kesedihan dan turut berdukacita kerana kehilangan orang yang mereka sayangi, walaupun si mati itu bukan Muslim.
Malah katanya, adalah bukan sikap Islam untuk membanding-bandingkan kematian kerana ia tetap menyebabkan kesedihan.
“Ini adalah satu antara video yang paling diminta ramai, vokalis Shinee Kim Jong-hyun mati baru baru ini. Rupa rupanya dia mengalami kemurungan dan akhirnya membunuh diri.
“Ramai peminat Kop di Malaysia berasa sedih, tetapi untuk sebab yang aneh juga ramai orang menggunakan Twitter mengecam peminat K-pop kerana bersedih.
Kata Caprice - atau nama sebenarnya Ariz Ramli - ramai pengguna Twitter menyatakan kesedihan mereka dan pada masa sama pihak yang satu lagi mempertikaikan kesedihan itu kerana ditujukan bukan kepada kanak-kanak Palestin.
“Tak kira sama ada Muhammad Ali, Michael Jackson atau haiwan peliharaan kamu atau artis K-pop, Allah adalah pencipta kepada semua makhluk,” katanya melalui klip video pertama dibuat naik ke Instagram miliknya.
Jong-hyun, 27, asalnya dikenali sebagai penyanyi kumpulan Shinee. Selain menyanyi dia juga berbakat sebagai pencipta lagu, hos radio dan penulis.
Dia kemudian muncul sebagai penyanyi solo pada awal 2015.

Bagaimanapun dia dikatakan mengalami kemurungan dan tekanan perasaan sehingga mendorongnya membunuh diri pada 18 Dis lalu.
Penyanyi itu ditemui tidak sedarkan diri di rumahnya di Cheongdam-Dong, Seoul dan dikejarkan ke Hospital Universiti Konkuk.
Bagaimanapun doktor kemudian mengesahkan Jong-hyun mati tidak lama kemudian.
Quran sempurna, manusia tidak
Polis mengesahkan bekas vokalis boy band Shinee itu mati akibat bunuh diri. Dia juga meninggalkan nota terakhir untuk kakaknya.
Caprice, 29, kemudian merujuk kepada seorang pengguna Twitter yang menyifatkan peminat muzik K-pop tidak pernah bersedih kerana mengabaikan al-Quran.
“Siapa kamu untuk mengandaikan orang yang dengar muzik K-pop tidak mencintai al-Quran,” kata penyanyi Xdehal Bro dan Watlek Watpeace itu lagi.
Melalui klip video lain, Caprice turut mendedahkan dia diserang golongan yang tidak menyukai terhadap perkongsiannya mengenai kematian artis K-pop.

Katanya, tidak mengapa jika seseorang mahu membuat teguran namun menghina orang yang sudah mati bukanlah adab yang baik.
Menurut Caprice, perangai menghina dan menyebarkan kebencian itu saling tidak tumpah seperti sifat Presiden AS Donald Trump dan Israel.
“Ini adalah jenis tweet yang Donald Trump cakap setiap hari, tentera Israel yang membenci Palestin cakap setiap hari.
"Apa beza perangai korang (kamu) dengan perangai Yahudi yang korang benci sangat itu? Tak de beza bro,” katanya.
“Kepada semua rakan Muslim, kalau nak gegar dunia kita kena mula hidup dengan beri contoh (yang baik). Al-Quran adalah kitab sempurna tetapi manusia tidak dan sebab itu kita kena belajar perbaiki diri sendiri,” katanya.
Selain menyanyi Caprice juga membabitkan diri secara aktif untuk melaksanakan kempen Jihad Dalam Pendidikan dengan membina aplikasi seperti classruum.com, mengaji.com dan terbaru rajin.com dalam usahanya menggalakkan amalan membaca serta menuntut ilmu.

