Isu penjajahan rejim Zionis ke atas wilayah Palestin bukan saja menimbulkan bantahan di kalangan umat Islam, malah ia turut mengundang protes artis antarabangsa.
Sudah ramai selebriti kategori A menyatakan bantahan mereka terhadap Israel.
Terbaru penyanyi dan pencipta lagu kelahiran New Zealand, Lorde, membatalkan konsert yang sepatutnya diadakan di Israel.
Pengumuman itu dibuat Lorde dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
"Saya berbangga kerana menjadi generasi muda yang mempunyai banyak maklumat. Saya juga banyak membaca dan menerima begitu banyak pendapat sebelum bersetuju untuk mengadakan persembahan di Tel Aviv.
"Bagaimanapun saya sedikit pun tidak bangga untuk mengakui bahawa saya telah membuat keputusan yang salah," katanya yang mengumumkan pendiriannya menarik balik persetujuan mengadakan persembahan di ibu negara Israel itu.
Kata Lorde, sebelum membatalkan konsert berkenaan dia menerima begitu banyak mesej dan surat, juga mengadakan perbincangan dengan ramai orang yang mempunyai pandangan berbeza.

Media melaporkan Lorde membuat keputusan itu kesan daripada kempen dalam talian oleh kumpulan yang menentang penjajahan Israel ke atas tanah Palestin.
Penyanyi Royal itu sepatutnya mengadakan persembahan itu di Pusat Konvensyen Tel Aviv pada 5 Jun 2018 sebagai satu daripada puluhan konsert untuk siri jelajah dunia Melodramanya.
Bagaimanapun, Lorde memohon maaf kepada peminatnya di Israel kerana tidak dapat memenuhi hasrat mereka untuk menyaksikan dia membuat persembahan di situ.
"Tel Aviv, sudah menjadi impian saya untuk melawat negara yang indah ini sejak bertahun-tahun lamanya.
"Saya meminta maaf terpaksa membatalkan persetujuan untuk mengadakan pertunjukan.
"Saya berharap satu hari nanti kita semua boleh menari bersama," katanya.
Mengaku masih belajar
Pada 20 Dis lalu, Lorde pernah memberi respon kepada surat terbuka ditulis sebuah laman sesawang berpangkalan di New Zealand, The Spinoff.
Surat berkenaan berjudul "Wahai Lorde, ini adalah antara sebab kami menggesa anda untuk memboikot Israel."
Penulis surat itu - Nadia Abu Shanab dan Justin Sachs - berkata persembahan dilakukan di Israel membawa mesej yang salah kepada dunia.

Mengadakan persembahan di Tel Aviv, kata mereka, dilihat seolah-olah memberi sokongan kepada polisi kerajaan Israel walaupun pada masa sama Lorde, 21, enggan memberi sebarang komen terhadap situasi politik Timur Tengah.
"Maklum. Saya sudah merujuk kepada banyak pihak mengenai perkara ini dan sedang mempertimbangkan pilihan yang ada. Terima kasih kerana mendidik saya yang masih belajar," kata Lorde menjawab surat berkenaan.
Lorde antara beberapa artis terkemuka yang membatalkan persembahan di Israel termasuk Elvis Costello, Lauryn Hill dan Gorillaz.
