Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nyala lilin, ucapan untuk Jong-hyun sia-sia
Diterbitkan:  Dec 26, 2017 4:53 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Umat Islam mesti mempunyai jati diri sendiri dan tidak mudah terikut-ikut dengan budaya luar hingga taasub atau berlebih-lebihan semasa berkabung.

Mufti Wilayah Persekutuan memberitahu Islam menyediakan garis panduan dan adab untuk seseorang Muslim memberi penghormatan terakhir ke atas kematian orang bukan Islam.

Memetik hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Abu Hurairah RA, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan antara kelebihan seseorang Muslim ialah mereka meninggalkan hal-hal yang tidak bermanfaat, sama ada perbuatan atau perkataan.

"Oleh itu, setiap perkataan dan perbuatan yang tidak ada manfaatnya sama ada untuk kepentingan ukhrawi seorang Muslim atau pun untuk kepentingan duniawinya, sewajarnya ditinggalkan agar sikap beragamanya menjadi lebih baik," katanya.

Kenyataan itu dibuat sebagai menjawab pertanyaan orang awam mengenai hukum berkabung kerana kematian artis bukan Islam dengan doa, nyalaan lilin serta nyanyian.

Ia berkaitan kematian penyanyi Korea Selatan Kim Jong-hyun pada 18 Disember lalu akibat membunuh diri di Seoul.

Jawaban itu disiarkan akaun rasmi Facebook Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkfli Mohamad hari ini.

Kira-kira 100 peminat berkumpul di tepi Sungai Kelang di Kuala Lumpur untuk menyertai acara memperingati kematian Jong-hyun berkumpul pada 21 Dis lalu.

Tak rugi jika ditinggalkan

Peminat yang kebanyakan dari kawasan Lembah Klang tidak kira bangsa dilihat meratapi sambil memberi penghormatan terakhir dengan membawa beberapa barang peringatan seperti lilin, bunga, belon dan potret Jong-hyun ketika upacara itu berlangsung.

Secara umum, kata kenyataan tersebut, Islam mengharuskan seseorang berkabung atas kematian orang bukan Islam, terutama di kalangan anggota keluarga dan saudara terdekatnya.

“Ini diambil daripada perbuatan Rasulullah yang bangun menghormati jenazah seorang Yahudi ketika lalu di hadapan baginda.

“Kisah seorang sahabat nabi bernama Qays bin Syamas pernah menyatakan hasratnya kepada Rasulullah untuk menghadiri majlis kematian ibunya yang beragama Nasrani, Nabi membenarkan dan menyuruhnya berjalan di hadapan jenazah sebagai tanda hormat,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun katanya berkabung dengan perbuatan melampau seperti ratapan dan tangisan berlebihan diharamkan Islam.

“Ataupun al-ritha, ratapan atau pujian terhadap si mati setelah dikuburkan, begitu juga sebarang bentuk nyanyian bagi memperingati orang meninggal, ia bukan sesuatu dianjurkan dalam Islam.

“Justeru, lebih baik ditinggalkan kerana tidak ada kerugian jika tidak melakukannya,” kata kenyataan itu lagi.

Mengenai ucapan takziah, kenyataan itu menjelaskan ia hanya untuk diterima oleh ahli keluarga, sahabat handai serta saudara-mara artis berkenaan.

“Merujuk kepada isu baru-baru ini, tiada keperluan untuk melakukan hal demikian kerana ucapan kepada si mati itu sendiri (seolah-olah bertutur kepada si mati) adalah hal tidak bermanfaat dan bukan budaya Islam,” katanya.

Bagi hukum mengadakan acara menyalakan lilin, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata Islam melarang umatnya terlibat dalam apa jua amalan yang bersifat ritual atau upacara agama bukan Islam.

“Dan umat Islam dilarang menyertai aktiviti menyalakan lilin kerana ia mengandungi unsur-unsur tasyabbuh dengan agama bukan Islam yang akan menjejaskan akidah umat Islam,” kata kenyataan itu.

Pendirian berkenaan, katanya, selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatan kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang menghadiri muzakarah pada 2 Oktober 2009.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS