Paling Popular
Terkini

Jika mengikut teori Hishamuddin Rais - yang selalu diungkapkannya di mana-mana - jika musuh menyerang, maknanya kamu berada di landasan yang betul.

Dalam huraian yang sedikit panjang lebar, jika musuh memberi perhatian pada kamu, menyerang kamu, mengharamkan fikiran, karya, buku, maknanya kamu ini berbahaya. Begitu kurang lebih dimaksud aktivis NGI (individu bukan kerajaan) tersebut.

Jadi adakah buku Antithesis berbahaya? Ya dan tidak.

Berdasarkan semakan penulis di Google, hanya Hishamuddin Rais yang pernah dipenjarakan. Buku-bukunya belum pernah lagi dipenjarakan atau diharamkan.

Berdasarkan teori Hishamuddin di atas, buku-bukunya tidaklah begitu berbahaya meskipun tajuk-tajuknya lebih vulgar dan revolusi seperti Tipu Pilihanraya, Turun Jalanraya, Pilihanraya atau Pilih Jalanraya, Keganasan, Penipuan dan Internet, Tertangkapnya Seekor Toyo berbanding Antithesis.

Kerajaan Malaysia boleh memilih untuk mengharamkan buku Fattah Amin, kerana buku itu tidak ada apa-apa faedah pun, tetapi mereka memilih untuk mengharamkan Antithesis.

Ini menunjukkan buku Antithesis seperti arak yang berbahaya, maka kerana itu ia diharamkan. Jika ia sama taraf dengan buku Fattah Amin atau Hafiz Hamidun, pastilah ketiga-tiga buku ini tidak diharamkan atau ketiga-tiga buku ini dibebaskan beredar.

Kenapa hanya Antithesis?

Ada yang mengatakan Antithesis sekadar buku yang dikumpulkan dari status-status Facebook saja. Benar, begitu juga buku Fattah Amin dan Hafiz Hamidun yang dikutip dari laman sosial media mereka.

Tapi kenapa hanya Antithesis diharamkan?

Banyak lagi penulis muda yang lebih kredibel dan dahsyat daripada penulis Antithesis. Seperti Adam Adli yang menulis Molotov Koktel atau Nomi Nozwer yang menulis puluhan novel berbaur radikal dan intelektual. Kenapa hanya Antithesis yang diharamkan?

Jadi berdasarkan teori Hishamuddin di atas, ya, Antithesis benar-benar berbahaya.

Akan tetapi bagi penulis yang membaca dan mengagumi karya dan penulisan Hishamuddin, teorinya itu tidak sepenuhnya benar atau biasa dicakap orang sebagai half truth (separuh benar).

Jika dibaca dalam Goodreads tentang Antithesis, kritikan-kritikan terhadapnya agak menyakitkan hati. Ramai orang separuh mencemuh dan mencebik Antithesis ini. Seolah-olah ia tiada faedah atau sekadar luapan marah a young angry man.

Ada yang mengatakan bahawa status-status ini pernah dibaca, justeru kenapa perlu bukukan? Mungkin orang ini tak tahu bahawa al-Quran juga tetap dibukukan mesti dibaca lima kali sehari.

Manifesto komunis, Bible, tetap dicetak dan dijual, meskipun boleh dimuat turun secara percuma.

Ada pun begitu tidak ada apa-apa rusuhan, demonstrasi, himpunan aman, rapat umum, turun jalan raya atau pilih jalan raya atau revolusi atau peperangan disebabkan Antithesis ini.

Inilah hujah penulis untuk menegaskan bahawa buku Antithesis tidaklah berbahaya seperti yang difikirkan, atau patut dilarang oleh kerajaan.

Ada apa dengan Antithesis?

Tidak ada apa-apa yang hebat pun. Cuma kritik ulama, kritik legitimasi jabatan agama, kritik universiti dan beberapa hal lain yang tidak penting.

Dibandingkan dengan karya-karya Hishamuddin yang lebih menggigit dan menggugat - seperti mengajak ke jalan raya atau menolak pilihan raya yang menipu - Antithesis hampir tak mengajak apa-apa.

Penulis Antithesis sendiri bukanlah kaki demonstrasi, sebaliknya seorang kaki buku yang hampir tak pernah ditahan di mana-mana atas sebab politik.

Oh ya, Antithesis mengajak peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk tidak membayar hutang secara beramai-ramai. Tujuannya adalah untuk mendapat pendidikan percuma.

Bagaimana kerajaan mahu mengharamkan pemikiran?

Sebenarnya hampir tidak boleh di pada era internet ini. Segala maklumat dan pengetahuan bersepah-sepah dan melimpah-ruah.

Kerajaan melancarkan projek Koridor Raya Multimedia dan membenarkan kapitalis komunikasi seperti Digi, Celcom dan Maxis beroperasi.

Tapi apalah gunanya semua ini jika tanpa internet dan kebebasan memberikan pandangan? Orang tidak mahu menonton TV1 atau TV3 yang banyak iklan, atau Astro yang mahal tapi banyak cerita berulang! Orang mahukan internet!

Inilah percanggahan paling fundamental dalam sistem kapitalisme. Dia hendak tetapi terjerat dalam kehendaknya. Dia mahu menjadi negara kaya yang bebas, tetapi dia tak mahu rakyatnya bebas berekspresi.

Segalanya telah tersedia di hujung jari anda. Jadi langkah paling konsisten - jika benar kerajaan mahu mengharamkan fikiran - ialah mencabut palam internet di Malaysia terlebih dahulu.

Dalam erti kata lain, musnahkan pencawang-pencawang atau stesen-stesen atau pemancar-pemancar internet, kemudian barulah siap untuk memulakan upacara pembakaran buku secara besar-besaran.

Senang faham

Atau pun sebenarnya yang ditakuti oleh kerajaan Malaysia ialah Antithesis tidak bercakap berbelit-belit dan berdolak-dalik? Sebaliknya Antithesis bercakap dengan bahasa Melayu yang mudah, sangat senang difahami waima pembaca itu anak Felda, ataupun pelajar tahun 1 UiTM.

Hal itu kerana Antithesis menggunakan kaedah bahasa Melayu sebagai bahasa strategik untuk perubahan di Malaysia. Jadi kerajaan takut masyarakat akan berubah dan menolak mereka apabila segala institusi berautoriti ditolak?

Ada kata-kata - tak ingat siapa - yang terngiang-ngiang dalam kepala: jika tahi lembu itu diharamkan, pastilah berpusu-pusu orang akan mencari dan mengorek, serta membuat tafsiran kenapa ia diharamkan.

Pengkaji yang sebenar tidak bertumpu kepada faktor syariat (luaran) semata-mata semasa menilai sesuatu. Yang benar-benar mengkaji akan mencari pengertian yang lebih iaitu makrifat (dalaman) kenapa sesuatu itu diharamkan.

Seperti Al-Hallaj yang diisytiharkan sesat dan dipancung. Al-Hallaj mati, khalifah, ulama, algojo yang membunuhnya juga mati. Tapi Al-Hallaj juga yang dicari.


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecilan, penggiat komuniti Kuliah Buku – KUBU)

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS