Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Alicia Amin cuba bunuh diri tapi gagal
Diterbitkan:  Jan 2, 2018 5:56 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

Di sebalik keberanian menonjolkan tubuh tanpa seurat benang model kontroversi Alicia Amin sebenarnya mempunyai jiwa rapuh yang menyebabkannya hampir bertindak meragut nyawa sendiri.

Alicia mendedahkan, dia pernah tersedar sebelum mendapati dirinya berada di sebuah wad psikiatri.

"Awal tahun lalu saya terpaksa berada di wad psikiatri selama seminggu kerana cuba membunuh diri tapi gagal," katanya melalui Instagram.

Bekas peserta Asia's Next Top Model (ANTM) musim kelima itu mengakui ini adalah kali pertama dia bercakap secara terbuka mengenai perbuatan yang diharamkan dalam Islam itu kepada umum.

“Kisah pahit itu berlaku berlaku selepas saya tamat menjalani penggambaran ANTM dan sebelum berpindah dari Melbourne, Australia.

“Dan ia juga berlaku sebelum saya belajar mempertahankan diri sendiri dan perkara dipercayai mampu memberi inspirasi kepada orang lain terutama yang turut pernah berada dalam situasi sama,” katanya.

Kenyataan itu juga dibuat Alicia atau nama sebenarnya Raja Alicia Raja Amin, 22, sempena azam baru tahun ini.

Pelakon drama Meh Sandar Lagi itu pada masa sama turut menggesa jangan ada sesiapa yang berputus asa sebaliknya terus mencuba walaupun melakukan kesilapan.

“Saya tidak dapat menjanjikan bahawa semuanya akan berlaku mengikut kehendak kamu, tetapi hidup ini memang sukar untuk diramal.

“Kita semua melalui kepayahan berbeza, kejahatan yang berlainan tetapi saya gesa anda semua untuk bertahan lebih lama dan membenarkan diri kamu untuk melakukan beberapa lagi kesilapan dan berkata ya kepada semua kasih sayang sebelum berputus asa.

“Kamu akan terkejut dengan sedikit kepercayaan, kemaafan dan kebaikan daripada diri sendiri dapat membantu keadaan pulih kembali,” katanya.

Lihat Komen
ADS