Menyampaikan mesej melalui lagu yang berunsurkan ketuhanan bukan mudah kerana ia memerlukan penghayatan agar pendengar dapat memahami makna di sebalik lirik yang dinyanyikan.
Penyanyi duo Akhdan yang dianggotai dua remaja Muhammad Affan Mazlan, 18 dan Muhamad Syafiqri Kaharudin, 17, mengakui single terbaharu mereka berjudul “Maaf Aku Khilaf” yang berkonsepkan genre rock balada, memerlukan mereka menghayati setiap lirik lagu itu.
Menurut Muhammad Affan, lagu itu bukan hanya tentang kisah percintaan semata-mata tetapi lebih kepada memohon kemaafan segala kesilapan kepada Tuhan yang satu.
“Untuk menzahirkan perasaan memohon maaf dengan sesuatu yang kita tidak nampak memerlukan penghayatan yang tinggi, berbeza jika kita memohon maaf dengan orang yang boleh kita lihat depan mata
”Lagu ini ibarat luahan hati kepada Tuhan dan kembali mengingati segala kesilapan dan kesalahan yang kita buat,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menjadi tetamu program Nine 11, terbitan Bernama News Channel (BNC), di Wisma Bernama di Kuala Lumpur hari ini.
Muhammad Affan yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berhasrat menyambung pengajiannya dalam bidang muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) atau di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Kumpulan Akhdan yang ditubuhkan pada 2010 pada awalnya dianggotai empat remaja lelaki, tetapi kini hanya Muhammad Affan sahaja satu-satunya anggota asal kumpulan itu yang masih aktif sebelum menjadi duo bersama Muhamad Syafiqri sejak tahun lalu.
Lagu itu yang liriknya mengandungi bait “teringat saat di sini, terpedaya kehidupan duniawi, bukan melupakanmu” adalah hasil ciptaan Wan Mohd Zakaria Wan Mohd Zen atau lebih dikenali Cikgu Wan yang dihasilkannya pada Septembar tahun lalu dan mula dipasarkan di bawah naungan Paranormal Record awal Januari tahun ini.
Sementara itu, Muhamad Syafiqri dipilih menjadi pasangan Muhammad Affan setelah melalui uji bakat yang dijalankan tahun lalu.
Bakal menduduki SPM tahun ini, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Intan, Kluang Johor itu berkata walaupun beliau aktif menyanyi, fokus utamanya tetap untuk menghadapi peperikaan hujung tahun ini.
-Bernama
