Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
KKMM cari kaedah terbaik bantu penggiat seni

Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mencari kaedah terbaik untuk menyediakan bantuan kebajikan khas kepada penggiat seni dan karyawan negara bagi jangka masa panjang agar nasib golongan itu lebih terbela.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Jailani Johari berkata bantuan itu akan memanfaatkan penggiat seni yang lama dan baharu untuk meringankan beban golongan itu seperti kos sara hidup dan bayaran perubatan.

“Saya sudah minta Ketua Pengarah (Finas) untuk mungkin duduk sekali dengan RTM (Radio Televisyen Malaysia) dan penggiat siaran (syarikat penyiaran) swasta mengenai kaedah terbaik (untuk menyalurkan bantuan) sama ada dalam bentuk royalti atau tabung kebajikan.

“Kita di pihak kementerian cuba sebaik mungkin bantu mana-mana karyawan atau penggiat seni yang menghadapi masalah. Untuk ‘long-term’ kita perlu cari satu kaedah terbaik untuk membantu mereka,” katanya kepada pemberita, di Petaling Jaya hari ini.

Terdahulu beliau menziarahi artis veteran Fatimah Yassin, 78, di rumahnya di Kelana Jaya yang kini dalam keadaan uzur setelah didapati menghidap penyakit Osteoporosis (penyakit tulang) .

Jailani yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu tiba di rumah berkenaan pada pukul 11 pagi dan meluangkan masa beramah mesra dengan Fatimah serta anggota keluarganya.

Turut hadir Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Fauzi Ayob, Pengerusi Finas Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi.

Ketika kunjungan tersebut, Fatimah menerima sumbangan daripada kementerian berkenaan, Finas dan Seniman.

Fatimah yang juga bekas juruhebah radio RTM adalah balu kepada Allahyarham Kamaruddin Abdul Majid serta mempunyai dua orang anak iaitu Nordiba Akmal, 48, dan Ahmad Fazuan, 45.

Berasal dari Singapura, Fatimah memulakan kariernya pada tahun 1970-an dan dikenali ramai dalam drama radio popular ‘Nombor 5 Persiaran Satu’ dan drama TV ‘PJ Holdings’. -Bernama

Lihat Komen
ADS