Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kiai Gus Mus diiktiraf pejuang hak asasi manusia
Diterbitkan:  Jan 25, 2018 6:29 PM
Dikemaskini: 10:36 AM

Ulama dan penyair yang terkenal dengan puisi-puisi tajamnya, Gus Mus, diberikan penghargaan dalam bidang hak asasi manusia di Indonesia.

Tokoh berusia 73 tahun itu menerima Anugerah Yap Thiam Hien di Jakarta malam tadi.

Bagaimanapun secara merendah diri Gus Mus berkata, anugerah kehormat itu terlalu berlebihan untuk dirinya.

Malah beliau yang memiliki nama sebenar Ahmad Mustofa Bisri itu juga tidak tahu apa asas dinilai penganjur untuk memberikan anugerah berkenaan kepadanya.

"Penghagaan ini sebenarnya tidak wajar untuk saya. Apa sebab saya terpilih? Sebenarnya apa itu hak asasi manusia, saya tidak tahu," katanya semasa menyampaikan ucapan di Perpustakaan Negara Indonesia itu.

Anugerah Yap Thiam Hien diberikan kepada tokoh yang memberi sumbangan besar untuk menegakkan hak asasi manusia di negara berkenaan.

Ia dikeluarkan oleh Yayasan Pusat Kajian Hak Asasi Manusia Indonesia hampir pada setiap tahun sejak 1992.

Yap Thiam Hien merujuk kepada seorang peguam merangkap aktivis hak asasi manusia di Indonesia.

Tokoh lain yang pernah mendapat pengiktirafan sama ialah Widji Thukul (gambar) pada 2002, aktivis buruh Marsinah (1993) yang diculik sebelum dibunuh, serta wartawan Maria Margaretha Hartiningsih (2003).

Anugerah buat Gus Mus itu disampaikan Menteri Kelautan dan Perikanan Susi Pudjiastuti. Turut hadir, Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Yasonna Laoly dan Ketua Yayasan Yap Thiam Hien, Todung Mulya Lubis.

Gus Mus mendakwa dia tidak mempunyai pengajian rasmi lebih tinggi daripada satu thanawi. Namun dia banyak mengikuti pengajian di pesantren.

Selain aktif menyebarkan Islam namanya juga dikenali ramai dengan pandangan spontan serta mendalam melalui puisi. Satu daripadanya ialah sajak Kau Ini Bagaimana Atau Aku Harus Bagaimana.

Kata Gus Mus, antara ilmu terpenting diperolehi ialah memahami bahawa Indonesia adalah "rumahnya".

"Itu saja dan saya menjaga rumah saya.

"Hal-hal tentang hak asasi itu saya ketahui daripada orang yang terkemudian," katanya.

Semasa belajar di pesantren, Gus Mus berkata, dia diajar supaya mengutamakan semua hal-hal wajib, termasuk wajib menghargai hak orang lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS