Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Pok Ya Cong Codei layak dapat Datuk
Diterbitkan:  Jan 26, 2018 6:14 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Sejak ditayangkan di TV minggu lalu, ramai benar orang bercakap mengenai watak yang baru kali pertama dimunculkan itu - Pok Ya Cong Codei.

Tidak ketinggalan, orang ramai bercakap mengenai pelakon yang membawa watak Pok Ya berkenaan, iaitu Sabri Yunus.

Disebabkan lakonan Sabri yang memberi kesan itu, salah seorang pensyarah ilmu hadis terkenal Dr Rozaimi Ramle mencadangkan pelakon dari Kelantan itu diberi pingat atau gelaran yang sewajarnya.

Kata Rozaimi telefilem dan lakonan yang dipamerkan Sabri dalam cerita itu dianggap cemerlang.

"Jika ditanya siapakah artis yang patut diberi anugerah Datuk atau apa saja anugerah, saya ingin cadangkan nama beliau," katanya hari ini.

Pok Ya Cong Codei berkisar mengenai seorang lelaki gedebe (samseng) di Kelantan yang diupah oleh ahli perniagaan kaya mencari anak gadisnya yang dipercayai diculik.

Plot telefilem itu berkembang daripada sebuah perminataan biasa menjadi masalah lebih rumit.

Nama gelaran "cong codei" itu asalnya merujuk kepada sebuah hotel yang disewakan orang kaya terbabit untuk Pok Ya. Bagaimanapun babak memaparkan adegan Pok Ya mengeja nama hotel itu dipadamkan.

Dalam temu bual bersama Harian Metro, Sabri menjelaskan adegan itu tidak bermaksud untuk memalu atau menghina sebaliknya menggambarkan salah faham seorang lelaki dari kampung.

Tingkat kritikan sosial

Turut menjayakan Pok Ya Cong Codei ilham Sabri itu ialah Uqasha Senrose, Fikry Ibrahim, Mustapha Kamal dan Saidi Sabri.

Kata Rozaimi dia membesar dengan lawak jenaka Sabri seperti siri drama situasi Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Antara keunikan Sabri, kata Rozaimi, ialah kemampuannya menyampaikan jenaka yang berisi serta bermesej.

"Lawaknya tidak melampau dan tidak ada unsur seks keterlaluan atau jijik menjadikan saya menghormati beliau sebagai insan seni yang ada nilai tinggi," katanya.

Penceramah yang terkenal itu turut memuji lakonan Sabri dalam naskhah teater karya penulis terkemuka, Dinsman, Menunggu Kata Dari Tuhan kerana berjaya menyampaikan mesej keagamaan.

"Sisi paling menarik pada diri beliau ialah sangat kuat semangat Kelantan.

"Beliau berusaha semampu mungkin memperkenalkan budaya masyarakat Kelantan dalam jenakanya," kata Rozaimi.

"Kepada Abang Sabri," kata Rozaimi, "teruskan karya bermesej dan berkualiti. Sangat baik jika nilai kritikan sosial dalam karya dapat dipertingkatkan."

Kenyataan itu dibuat ketika semakin ramai artis di negara ini bergelar Datuk.

Ada antara mereka dirasakan tidak layak lagi mendapat gelaran berkenaan, selain timbul isu salah laku serta pendakwaan jenayah membabitkan selebriti tempatan.

Lihat Komen
ADS