Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mata Fasha buat Aliff Syukri rasa macam nak bunuh diri

Perjalanan Datuk Seri Aliff Syukri untuk menjadi pelakon kali pertama kelihatan memang getir.

Berdasarkan ceritanya, usahawan barangan kosmetik itu memberitahu, sebelum beraksi di depan kamera dia terpaksa berlatih berjalan dengan betul selama dua bulan.

Tidak cukup dengan itu Aliff terpaksa pula belajar membuat suara "macho" dan tempoh sebulan diperlukan sebelum mendapat hasil yang disasarkan.

Apabila beraksi di depan kamera pula Aliff berkata dia kadang-kadang berasa seperti mahu bunuh diri. Puncanya - dia tidak dapat menahan panahan mata aktres Fasha Sandha.

Sibuk di set penggambaran, di rumah juga Aliff 'menderita' kerana tidak mempunyai masa mencukupi untuk bermesra dengan isteri.

Sepanjang tempoh tiga bulan menyiapkan filem Badang, pertemuan Aliff dan isterinya, Nur Shahida, diibaratkan macam laluan di plaza tol - cuma sentuh dan berlalu (touch and go).

“Betapa susah saya nak menjadi pelakon kerana orang tahu karakter saya pelik dan mengada-ngada, sedangkan boleh dikatakan hampir 70 peratus karakter adiwira itu bukan diri saya sebenar," katanya.

Jadi mangsa buli

Justeru kata Aliff dia berharap penonton Badang dapat menerima penampilan sulungnya itu seadanya, dan tidak terus mengecam.

Badang juga katanya menjadi pengalaman pertama dia berlakon dan menerima wang hasil daripada titik peluh sebagai aktor.

"Kerja berlakon ini memerlukan saya keluar rumah seawal jam 7 pagi dan pulang 3 pagi keesokan hari.

"Memang mencabar sebab sesuatu babak dalam filem itu kadang-kadang perlu dilakonkan sehingga 100 kali," katanya.

Dengan cabaran getir itu Aliff berharap orang ramai dapat menerima Badang dengan baik.

Aliff ditemui media pada majlis tayangan perdana Badang di Petaling Jaya, Selangor malam tadi.

Badang mengisahkan seorang pelajar kolej yang menjadi mangsa buli kerana sifat semula jadinya yang lembut.

Dia berdepan cabaran lebih getir apabila ada penjenayah menyebabkan ibunya meninggal dunia.


Baca: Pahang kurnia darjah kebesaran pada Afdlin, Aliff Syukri


Dengan kuasa luar biasa yang ada padanya, pelajar terbabit mengesan pihak yang bertanggungjawab atas kematian ibunya.

Badang diarah oleh Datuk Prof A Razak Mohaideen yang terkenal dengan sekian banyak filem termasuk Mami Jarum, Bujang Senang, Sifu & Tongga, Cinta Fotokopi dan Tangkai Jering.

Selain Aliff dan Fasha Sandha, turut menjayakan Badang ialah Fauzi Nawawi (gambar), Nadia Brian, Aminah Rhapor dan Azhari Mohd Zain.

Sebenarnya, belum pun Badang disiapkan filem itu sudah mendapat ‘hebahan percuma’ daripada pengguna internet sejak tahun lalu.

Antaranya, pemilihan watak utama - iaitu Aliff - menjadi kecaman sesetengah pihak yang berasa dia kurang sesuai.

Aliff juga didakwa hadir dalam filem yang dijangka mula menemui penonton pada 15 Feb ini kerana membuat sejumlah pelaburan untuknya.

Namun, kesangsian itu disangkal Aliff dan pengarah Badang.

Jual kosmetik lagi untung

Kata A Razak dia memang gemarkan cabaran dan tidak keberatan mengasuh seseorang yang tiada pengalaman seperti Aliff.

Dia juga menafikan Aliff melabur dalam filem Badang.

“Naskhah ini tidak mendapat sesen pun pelaburan daripada Aliff,” katanya.

Selain itu A Razak juga melalui pengalaman menarik semasa proses membidani Badang.

“Ini adalah kali pertama ada orang datang untuk menawarkan dirinya jadi pelakon. Selalunya orang datang (berjumpa) kerana nak membuat filem," katanya.

Sementara itu Aliff berkata walaupun menjadi pelakon adalah impiannya sejak kecil kecaman bertalu-talu orang ramai membuatkan semangatnya pudar.

Justeru selepas ini dia akan berkira sebelum menerima sebarang tawaran berlakon.

Aliff juga khuatir memberi terlalu banyak promosi untuk filem berkenaan di akaun media sosial miliknya.

“Saya sudah cuba yang terbaik. Sebenarnya saya sudah bersedia dikecam kerana sedar ada kelemahan, dan bukannya saya berniat nak dapat gelaran pelakon lelaki harapan.

“Tetapi yang pasti, saya tidak akan menerima sebarang tawaran dengan sewenang-wenangnya kecuali berlakon sebagai diri saya sendiri.

“Tetapi jika dikecam habis-habisan, mungkin saya mengalah kerana dunia lakonan amat memenatkan sedangkan jual kosmetik lebih menguntungkan,” katanya.

Lihat Komen
ADS