Filem Surf This Love: Gelora Juara (STL) yang bertemakan sukan luncur air bukan sahaja mengetengahkan keindahan Pulau Tioman sebagai latar lokasinya, malah membawa misi dalam mempopularkan sukan air itu di Malaysia.
Pengarahnya Wan Mohd Hafiz Wan Hussain berkata STL merupakan satu naskhah yang cukup mencabar kemampuannya dalam bidang pengarahan memandangkan penggambaran perlu dilakukan di dua lokasi iaitu daratan dan lautan.
Beliau berkata antara cabaran menghasilkan filem ditunjangi barisan pelakon terkenal Shukri Yahaya, Pekin Ibrahim dan Cristina Suzzane itu ialah dalam berhadapan arus ombak laut yang tidak menentu.
“Paling mencabar ketika penggambaran membabitkan aksi sukan luncur air kerana ia hanya boleh dilakukan ketika ombak kuat bagi memastikan peluncur dapat beraksi dengan baik.
“Pukulan ombak lemah di Pulau Tioman menyaksikan kru produksi terpaksa mencari alternatif dengan menjalani sebahagian penggambaran di kawasan peranginan Bali, Indonesia kerana di sana arusnya lebih deras,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Nine11 terbitan Bernama News Channel hari ini.
Mohd Hafiz yang pernah mengarahkan tiga filem iaitu Tok Mudim, Mat Tudung dan Puaka Balai Gombak yakin kekuatan filem itu dalam menarik kehadiran peminat filem tempatan ke pawagam biarpun memaparkan elemen baharu yang nyata berbeza daripada aliran semasa.
“Biarpun menampilkan sisi budaya yang tidak begitu sinonim dalam kalangan masyarakat bandar, namun saya yakin STL mempunyai nilai tersendiri yang mampu menarik penonton ke pawagam.
Bakal meluncur di pawagam seluruh negara bermula 22 Feb ini, STL dengan genre komedi romantik menceritakan kisah kehidupan sekumpulan peluncur air di Pulau Tioman sebelum kehadiran seorang blogger wanita dari ibu kota yang kemudian menghadapi pelbagai masalah dan mengubah segalanya.
Filem ini turut menampilkan barisan pelakon pembantu seperti Ardell Aryana, Mustaqim Bahadon, Syuhaida Abraz dan Josiah Hogan. -Bernama
