Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sebuah kementerian didakwa meminta Prof Ulung Dr Rajah Rasiah menyampaikan syarahan penerimaan anugerah diterimanya dalam bahasa Inggeris walaupun beliau asalnya mahu menggunakan bahasa kebangsaan.

Langkah itu menimbulkan rasa kurang senang sekumpulan penulis dan seniman, sehingga mencetuskan perbincangan hangat di alam maya, yang turut disertai oleh sasterawan negara.

Langkah itu dikaitkan dengan status bahasa Melayu yang didakwa sudah menjadi “bahan murah” di sekolah serta didakwa menghina bahasa kebangsaan.

“Penghinaan yang paling nyata lagi jelas.

"Waktu orang tengah berbangga dengan bahasa sendiri, ada pula manusia berjawatan yang berpangkat sanggup keluarkan arahan seperti itu.

“Bacul,” kata penulis Mohd Dahri Zakaria (bawah).

Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh pula memberi komen ringkas: “Saya percaya ada agenda politik!”

Penulis skrip Siti Jasmina Ibrahim: "Sengal tak baik baik lagi penyakit KPT ini.”

Bekas editor sastera Fadli Al-Akiti: “Bahasa Melayu sudah menjadi bahan murah di dunia sekolah. Ramai ibu bapa kini menghantar anak mereka ke SJKC atau masuk DLP (program dwibahasa).”

Penggiat teater Lenny Erwan: “Begitulah selalunya kita. Kalah dengan permintaan yang beberapa orang itu. Melaka jatuh pun kerana beberapa orang, tak perlu ramai pun untuk negara kita.”

Komen-komen itu dikeluarkan selepas penyair dan kakitangan akademik Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Raihani Mohd Saaid membangkitkan perkara itu di media sosialnya.

"Kata Prof Ulung Dr Rajah Rasiah, beliau telah menyediakan slaid syarahan penerimaan anugerah profesor ulungnya dalam bahasa Melayu.

“Namun pihak KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) meminta beliau bersyarah dalam bahasa Inggeris kerana terdapat beberapa orang pegawai dari luar negara dalam majlis.

"Hmm, beberapa orang ya!" tulis Raihani yang kemudian mencetuskan reaksi hangat rakan-rakan seninya.

Rajah adalah pakar ekonomi itu yang turut gah di Indonesia, Thailand, Vietnam dan Laos berdasarkan hasil penyelidikan ekonominya yang dicerminkan secara nyata dalam polisi kerajaan berkenaan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Rajah melahirkan lebih 30 doktor falsafah yang kini menjadi profesor di universiti tempatan dan peneraju syarikat swasta.

Rajah turut menerima pelbagai anugerah kebangsaan dan antarabangsa antaranya ‘Brain Gain Award’ (2004), ‘Distinguished Researcher Award’ (2012), Pemacu Penyelidik (2014), ‘Celso Furtado Prize’, ‘World Academy of Sciences’ (2014), Rajawali Fellowship, Harvard University (2014) dan ‘Best Consultancy Award’ (2017).

Dr Rajah minta maaf

Sementara itu, Dr Rajah ketika dihubungi Malaysiakini memohon maaf kerana beliau tidak dapat menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu susulan permintaan memintanya berucap dalam bahasa Inggeris.

Katanya, permintaan dibuat kerana terdapat tetamu yang tidak memahami bahasa Melayu.

“Kalaulah ada mereka yang kecewa saya minta maaf kerana itu bukan pendirian saya.

“Saya sebagai pensyarah saya mengutamakan penyampaian saya supaya mereka yang mendengar itu dapat tangkap (memahami) apa sahaja yang saya sampaikan.

“Jadi kalau yang disampaikan bahasa lain eloklah diterjemahkan dalam bahasa yang boleh memudahkan pemahaman mereka,” katanya.

Rajah bagaimanapun berkata beliau tidak melihat perkara itu sebagai isu besar dalam keadaan majlis yang tidak memungkinkan semua pihak memahami apa yang cuba disampaikan.

“Saya tak tahu siapa timbul isu itu. Saya tak fikir isu itu. Saya memang berhajat sampaikan bahasa Melayu sebab saya dibesarkan di kampung.

“Bila sahaja ada peluang saya ingin membentang bahasa Melayu tetapi berdasarkan kedudukan di sana dan adanya mereka yang tak faham bahasa Melayu, saya fikir ia keputusan bernas (berbahasa Inggeris),” katanya.

Buka, tutup ucapan dalam BM

Rajah bagaimanapun berkata beliau tetap membuka dan mengakhiri ucapannya dalam bahasa Melayu.

“Penyampaian saya selain kata mukadimah bahasa Melayu, isinya dalam bahasa Inggeris dan saya menyudahkan dalam bahasa Melayu sebab saya karang dan baca dua sajak,” katanya.

Katanya lagi, beliau mempunyai harapan untuk menegakkan bahasa Melayu atas sifat-sifat negara bangsa.

“Harapan saya satu ketika nanti dijadikan bahasa Melayu untuk tegakkan sifat-sifat negara bangsa.

“Saya kira perkara ini bukan mudah dengan adanya golongan-golongan tertentu yang percaya bahawa kita harus membawa balik bahasa Inggeris satu ketika dan percaya perkara yang disampaikan agak sama dengan Britain.

“Oleh kerana saya pemikir demokratik saya tak mahu menekankan permintaan dan hasrat saya supaya merangkumi keseluruhan golongan-golongan berkepentingan di Malaysia,” katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi KPT berkaitan perkara itu.

Lihat Komen
ADS