Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zamihan: Ultraman tak boleh pandu awak, Lofa
Diterbitkan:  Feb 28, 2018 1:03 PM
Dikemaskini: 5:05 AM

Pelakon dan pengacara popular Neelofa disarankan bertaubat susulan tindakannya yang melancarkan koleksi tudung di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur semalam.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah (Aswaja), Zamihan Mat Zin berkata tindakan Neelofa itu bukan saja boleh menimbulkan fitnah malah boleh mencemarkan imej Islam.

Malah katanya majlis tersebut yang diserikan dengan tarian yang menjolok mata oleh kumpulan wanita bertudung boleh dianggap satu mempersendakan serta penghinaan terhadap arahan Allah dan rasulnya.

“Kemuliaan bertudung bagi menutup aurat wanita daripada pandangan lelaki ajnabi telah diperlekehkan dengan perbuatan tidak senonoh sedemikian.

“Sehubungan dengan itu ASWAJA menyeru Hajah Neelofa supaya memohon keampunan dengan Allah SWT terhadap tindakannya yang agak keterlaluan dan melukakan hati umat Islam di negara ini.

“Diharapkan juga agar beliau tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama di masa akan datang. Kembalilah kepada Allah dengan taubat nasuha dan hati yang ikhlas,” kata Zamihan melalui kenyataannya hari ini.

Semalam Neelofa mempertahankan tindakan melancarkan koleksi tudungnya di sebuah kelab malam, Isnin lalu.

Neelofa berkata beliau memilih Zouk, kelab hiburan terkenal di ibu negara, dengan mengambil kira kesesuaian bajet serta tema acara, lapor beberapa media.

Neelofa dilapor turut menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-29 di majlis yang sama.

Tinjauan di laman web Naelofar Hijab mendapati, kesemua 45 warna yang dihasilkan untuk koleksi yang dijual pada harga RM73 dan RM75 itu telah habis dijual.

Satu lagi koleksi yang dilancarkan semalam, iaitu Be Lofa Shawl, bagaimanapun tidak dijual atas talian.

Tidak dapat dipastikan jika turban itu masih boleh didapati di kedai stokis di seluruh negara.

Dengar kata orang

Sementara itu Zamihan turut mengingatkan Neelofa supaya menerima segala teguran daripada semua pihak.

“Ambillah 'kata-kata orang' sebagai teguran dan nasihat. Kata-kata Ultraman, Doraemon dan makhluk sejenis pasti tidak memandu kita menuju akhirat.

“Janganlah kita lupa dan leka serta lalai dengan perintah Allah hanya kerana nikmat kesenangan yang bersifat sementara yang dimiliki. Ingatlah bahawa kita pasti ditanya tentang setiap nikmat yang di kurniakan Allah ke atas kita,” katanya.

Lihat Komen
ADS