Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Tanpa pelarasan atau garis panduan jelas untuk dijadikan sandaran, penerbit filem Ahmad Idham berpendapat pelaksanaan Skim Wajib Tayang mungkin menjadi satu daripada punca banyak filem Melayu gagal di pawagam.

Ahmad yang juga pelakon dan pengarah itu mengaku ‘mengemis’ sehingga tiga kali sebelum filem terbarunya, Hantu Wangan, diberi peluang ditayangkan di 43 pawagam.

Asalnya kata Ahmad Idham hanya 25 pawagam dijadual menayangkan filem berkenaan.

“Apabila diminta beri penjelasan mengapa jumlah panggung diberikan kepada kami begitu terhad, pihak Skim Wajib Tayang tiba-tiba berkata mereka perlu menilai sama ada filem berkenaan besar atau kecil (gred A, B atau C).

“Padahal sebelum ini tiada sebarang makluman, panduan atau pemberitahuan rasmi diberikan kepada penerbit mengenai perkara berkenaan,” katanya.

Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 44, ditemui pada majlis pratonton Hantu Wangan di Petaling Jaya malam tadi.

Filem berkenaan dijadual menemui peminat pada 22 Mac ini. Ia dijayakan pelakon seperti Achey Bocey, Risteena Munim dan Cat Farish.

Hantu Wangan mengisahkan KK - budak wangan (pelumba haram) watak dilakonkan Achey - diberi peluang oleh Papa J (Cat Farish) menjadi pemandu profesional.

Papa J ialah seorang pemilik bengkel kenderaan yang ternama.

Sengaja bikin provokasi

Sejak menjadi pelumba, KK sering didatangi mimpi aneh dan gangguan misteri.

Kata Ahmad Idham kali pertama membuat rayuan, dia diberikan tambahan empat pawagam, menjadikan jumlah yang akan menayangkan Hantu Wangan sebanyak 29 buah.

Selepas rayuan kedua jumlah pawagam yang ditetapkan menayangkan filem itu meningkat kepada lebih 30.

Seterusnya kata Ahmad Idham, kesan campur tangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) jumlah pawagam yang terlibat dalam Skim Wajib Tayang untuk Hantu Wangan menjadi 43 buah.

Keadaan itu menyebabkan Ahmad Idham terkejut. Sebabnya, dia menyangka selama ini jumlah pawagam yang terlibat dalam sesuatu tayangan wajib adalah tetap.

Rupa-rupanya kata Ahmad Idham, ketetapan itu boleh berubah-ubah.

Dan apa yang dilakukan itu sebenarnya sengaja dirancang sedemikian. Tujuannya kata Ahmad Idham, dia mahu melihat sama ada ketetapan dibuat pengendali Skim Wajib Tayang itu adalah tetap atau sebaliknya.

"Saya memang sengaja buat provokasi kepada keputusan Skim Wajib Tayang kerana nak tengok adakah mereka memang tetap dengan keputusan awal atau boleh goyang," katanya.

Meluahkan lebih lanjut mengenai situasi dihadapinya, Ahmad Idham berkata dia biasanya tidak meletakkan harapan setinggi gunung mengenai sebarang kutipan apabila mengenangkan pelaksanaan syarat skim berkenaan.

Katanya bagi penerbit-penerbit tempatan biasanya faktor keuntungan adalah perkara terakhir yang difikirkan selepas sesuatu filem disiapkan.


Baca Hutang PTPTN: Mengapa keras sangat hukuman?


"Cabaran pertama ialah untuk mendapatkan pawagam yang mahu menayangkan filem. Biasalah, penerbit mana yang tak mahu pawagam banyak?

"Jumlah panggung secara tidak langsung menyatakan betapa hebat filem itu, tetapi jika sikit ia juga menjejaskan reputasi filem berkenaan," katanya.

Kena bincang sama-sama

Tidak menyalahkan Finas yang memperkenalkan Skim Wajib Tayang, Ahmad Idham sebaliknya bercadang melaporkan perkara berkenaan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tujuannya kata Ahmad Idham supaya jawatankuasa pengendali Skim Wajib Tayang itu disiasat kerana dianggap tidak adil.

"Saya anggap ada sesuatu tidak kena dengan Jawatankuasa Skim Wajib Tayang. Saya sedang mengumpulkan beberapa bukti sebelum mengadukan perkara itu.

"Saya tidak mahu industri perfileman dibelengu dengan permainan duit. Jika ada kepincangan ia harus diperkemaskan.

"Semua pihak perlu duduk dan berbincang. Sampai bila nak biarkan pelaksanaan skim sebegitu selepas kita nampak ada beberapa filem kecundang akibat pelaksanaannya," katanya.

Lihat Komen
ADS