Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tuah Bront kian nampak pada Pengabdi Setan
Diterbitkan:  Mar 19, 2018 4:40 PM
â‹…
Dikemaskini: 8:52 AM

Tidak sia-sia Bront Palarae menerima tawaran pengarah Indonesia Joko Anwar untuk membawa watak suami yang kematian isteri dalam versi baru filem Pengabdi Setan.

Hasilnya lakonan Bront tercalon bagi kategori aktor terbaik di Anugerah Indonesia Box Office Movie (IBOMA) 2018.

“Alhamdulillah, terima kasih semua kerana menyokong,” kata Bront di media sosial.

Acara tahunan berprestij yang bertujuan mengiktiraf usaha penggiat filem itu dijadual berlangsung pada 23 Mac ini di Jakarta, Indonesia.

Untuk kategori itu Bront dicabar empat pelakon lain Abimana Aryasatya untuk filem Warkop DKI Reborn: Jangkrik Boss Part 2, Ernest Prakasa (Susah Sinyal), Jefri Nichol (Surat Cinta Untuk Starla The Movie) dan Vino G Bastian (Warkop DKI Reborn: Jangkrik Boss Part 2).

Pengabdi Setan bukanlah kemunculan pertama Bront, 39, dalam filem Indonesia. Dia juga pernah belakon dalam karya-karya seperti My Stupid Boss, Headshot dan Ayat-ayat Cinta 2.

Pesona watak Bapak

Melalui Joko Pengabdi Setan berjaya menjadi filem paling laris di Indonesia pada tahun lalu apabila ia ditonton sebanyak 4.2 juta orang.

Awalnya Joko meminta Bront mencarikan seorang pelakon bersesuaian untuk membawa watak sebagai bapa dalam filem berkenaan.

Namun disebabkan terlalu sukar mendapat calon seperti yang dikehendakinya, Joko akhirnya menawarkan watak Bapak kepada anak kelahiran Alor Star, Kedah itu.

“Yang agak sulit adalah mencari karakter bapanya, begitu sukar. Akhirnya saya menghubungi Bront minta dia mencarikan yang paling sesuai.

“Tetapi selepas lama berfikir, akhirnya saya berkata kepadanya: kamu sajalah,” kata Joko.

 

 

Pilhan itu ternyata tidak salah. Fenomena Pengabdi Setan terus melonjakkan nama Bront hingga di media sosial penonton yang terpesona dengan watak Bapak mewujudkan tanda pagar #pengabdiBapak.

Bahkan, ada juga yang menggelarkan Bront sebagai hot daddy kerana watak dipegangnya dalam Pengabdi Setan itu.

Di Indonesia, Pengabdi Setan sebuah kisah seram yang tidak lagi asing buat penduduk di negara itu, ia asalnya dihasilkan oleh Sisworo Gautama Putram juga menggunakan judul sama dan ditayangkan pada 1980-an.

Terdahulu, lakonan berkesan Bront dalam Pengabdi Setan itu turut menerima pencalonan dalam kategori aktor pembantu terbaik di di Festival Filem Tempo, Indonesia tahun lalu.

IBOMA 2018 hanya mempertandingkan 10 filem terlaris sepanjang 2017. Selain Pengabdi Setan turut dipertandingkan ialah Warkop DKI Reborn: Jangkrik Boss Part 2, Ayat-ayat Cinta 2, Danur: I Can See Ghosts, Jailangkung, Susah Sinyal, Surga Yang Tak Dirindukan 2, Mata Batin, The Doll 2, dan Surat Cinta Untuk Starla The Movie.

Kesemua filem akan dinilai barisan juri profesional iaitu Rako Prijanto, Erwin Arnada, Gina S Noer, Lola Amaria, Prisia Nasution, Titi Rajo Bitang dan Sentot Sahid.

Lihat Komen
ADS