Diasuh dalam suasana kehidupan penuh disiplin dan ketegasan menjadi panduan Datuk Fazley Yaakob memainkan peranan sama ke atas ketiga-tiga anak yang dibesarkan.
Seperti bapanya, Fazley menerapkan hukuman kepada Ahmad Fariedz Shah atau lebih mesra disapa Payish, Ahmad Fieradz Shah (Piyash), dan Ahmad Firudz Shah (Piyush) seandainya mereka melanggar mana-mana peraturan ditetapkan.
Bagaimanapun, hukuman itu sekadar mengingatkan tentang kesalahan dilakukan dan ia juga bertujuan mendidik atau sebagai memberi pengajaran.
Justeru, Fazley menerapkan prinsip memukul atau menyebat tidak melebihi tempoh dua minit pada bahagian tapak tangan kiri atau punggung saja.
“Hukuman tidak lebih dua minit kerana saya tidak mahu anak-anak membenci orang tua mereka dan membuatkan mereka berasa jauh serta tidak mahu berkongsi masalah.

“Saya akan memukul jika abang yang buat salah, kedua-dua adiknya pula harus melihat supaya tidak berbuat perkara sama. Dan kadang-kala ketiga-tiganya sekali saya kenakan hukuman.
“Saya akan memastikan selepas itu terus peluk dan cium mereka. Jika terlebih dari tempoh masa itu, saya atau isteri akan mengingatkan diri masing-masing,” katanya.
Peralatan digunakan Fazley untuk hukuman adalah penyangkut baju plastik dan tali pinggang dengan ukuran lebar bersaiz kecil.
Pemilik nama sebenar Ahmad Fadzli Yaakob,39, itu ditemui pada sidang media pelancaran program terbaru di slot eBu, Oh My Family semalam.

Fazley dan tiga anaknya bakal menjayakan Oh My Family yang dijangka disiarkan sebanyak enam episod bermula 11 April depan di saluran Astro Ria, Astro Ria HD dan Astro Ceria pada 9 malam.
Selain Fazley, Datuk Aaron Aziz, Rita Rudaini, Azad Jasmin dan Aziz M Osman antara keluarga selebriti yang turut serta menjayakan program berkenaan.
Untuk makluman, selain Payish, Piyash dan Piyush, hasil perkongsian hidup dengan Azrene Soraya Abdul Aziz, Fazley turut dikurniakan zuriat keempat, seorang anak perempuan, Alayna Selma.
Alayna dilahirkan sekitar Oktober tahun lalu.
Fazley yang juga penyanyi itu berkata, penekanan hukuman yang dipraktikkan dilihat berjaya memberi kesan positif apabila terdapat guru-guru di sekolah anaknya yang memuji tingkah laku mereka.
“Guru memberitahu ketiga-tiga anak saya begitu unik kerana mereka saling menjaga antara satu sama lain dan berkelakuan baik, ” katanya.
