Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kehebatan Melayu buat Syamsul meremang bulu roma

Dalam usaha memberikan yang terbaik untuk filem epik pertamanya yang diinspirasikan daripada kisah pahlawan Mat Kilau, pengarah Syamsul Yusof berdepan pengalaman tidak disangka-sangka.

Kata Syamsul, ketika mengenangkan kehebatan bangsa Melayu dalam arus sejarah, bulu romanya terasa naik meremang tiba-tiba.

Kejadian itu menurutnya berlaku sewaktu dia cuba mendalami dan memahami salasilah Melayu sebelum memulakan penggambaran pertama Mat Kilau.

“Penerbit sering menceritakan kelebihan Melayu. Selain itu saya juga ada membuat lawatan ke muzium-muzium untuk melihat tulisan dan bahan-bahan yang disimpan.

“Apabila mengetahui kehebatan Melayu ia terus membuat saya sampai meremang bulu roma. Bangsa kita ini sebenarnya memang hebat-hebat belaka,” katanya.

Tanggungjawab berbeza

Syamsul, 33, ditemui pada sidang media pelancaran filem Mat Kilau di Kompleks Studio Merdeka, Finas di Selangor baru-baru ini.

Filem berlatarbelakangkan tahun 1890-an itu memaparkan perjuangan Mat Kilau dan sahabat-sahabatnya bangkit menentang penjajah British yang mengaut hasil bumi di Pahang. 

Menguatkan lagi semangat pahlawan negara itu untuk membela nasib penduduk setempat adalah apabila keluarga, saudara dan sahabatnya turut dibunuh askar-askar upahan British.

Filem diterbitkan Studio Kembara dengan kerjasama Skop Production Sdn Bhd itu memulakan penggambaran bermula 1 April lalu di lokasi seperti Pahang, Kuala Lumpur dan Perak.

Mat Kilau dibarisi pelakon seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairi, Johan As’ari, Fattah Amin, A Galak, Wan Hanafi Su, Farid Amirul dan pelakon antarabangsa dari Indonesia Yayan Ruhiyan.

Ini adalah naskhah filem berunsur sejarah yang pertama akan disiapkan Syamsul, seorang pengarah yang cukup terkenal dengan genre aksi dan seram seperti Kl Gangster dan Munafik.

Pemenang anugerah Pengarah Terbaik selama tiga kali dalam Festival Filem Malaysia itu dijangka memikul tanggung jawab yang amat berbeza daripada sebelumnya.

Katanya, tugas pengarahan kali ini memberi tekanan begitu besar buat dirinya terutama apabila dia menggalas tanggungjawab dan amanah diberikan orang lain.

“Ini lebih besar daripada Munafik terutama apabila ia bukan diterbitkan dari syarikat milik ayah, Skop Production.

“Selain itu hingga ke hari ini saya juga sering menerima kata-kata galakan diberikan ramai peminat yang memiliki semangat juang Melayu begitu tinggi.

“Hal itu sekaligus memberi tekanan kerana saya perlu melakukan sehabis baik untuk menghasilkan karya yang boleh memuaskan hati ramai penonton,” katanya.

Lihat Komen
ADS