Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Filem Dukun yang tertangguh 12 tahun dan akhirnya diluluskan tayangan dengan klasifikasi P13 mencetuskan kegusaran sesetengah ibu bapa.

Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan yang mengadakan sidang media merujuk perkara itu berkata, pihaknya menerima banyak rugutan berdasarkan trailer filem itu yang dikatakan mempunyai babak negatif dan tidak sesuai ditayang untuk P13.

“Ada pandangan ibu bapa yang antaranya agak risau dengan keluarnya filem yang berbelas tahun tak keluar, nampak gaya ramai menunggu.

“Ini filem sensasi yang kita lihat promosinya boleh bawa kegusaran pada ibu bapa dan pendidik kita yang persoalkan kenapa klasifikasinya untuk 13 tahun ke atas kerana ia mungkin boleh bawa kesan negatif.

“Itu antara yang kita lihat menarik perhatian umum,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PPIM, di Kuala Lumpur, hari ini.

Kategori P13 merujuk filem yang memerlukan penonton berumur di bawah 13 tahun diberi pengawasan dan bimbingan ibu bapa atau penjaga ketika menonton.

Filem seumpamanya biasanya mengandungi unsur seram, menakutkan, adegan atau aksi negatif, unsur suspen dan mengejutkan tetapi tidak berlebihan dan jalan cerita yang sukar difahami atau unsur yang boleh mengganggu emosi kanak-kanak.

Hadir sama dalam sidang media itu pengarah filem yang juga Penasihat Industri Kreatif PPIM, Ahmad Idham.

Filem Dukun yang bocor di Internet sekitar Januari lalu dikatakan membawa penamat yang berbeza apabila ditayangkan secara umum bermula Khamis ini.

Filem itu pada mulanya dijadual ditayangkan pada 2006 - 12 tahun lalu - namun atas sebab tertentu tertangguh sehingga kini.

Sementara itu Ahmad Idham turut mempersoalkan syarat penapisan tahun bila yang digunakan Dukun, memandangkan ia sudah tersimpan lama.

Beliau yang juga pemilik dan pengedar filem aksi Qhaliq, AIFA Motion Pictures Sdn. Bhd yang akan ditayangkan serentak dengan Dukun turut mempersoalkan alasan Dukun mendapat klasifikasi P13 sedangkan ia filem seram.

“Kita persoalkan cerita Qhaliq dapat P13 dan Dukun pun dapat P13. Jadi kita tertanya-tanya adakan filem itu melalui proses penapisan tahun bila, adakah terbaru ataupun tahun bila filem ini keluar,” katanya.

Lihat Komen
ADS