Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Datuk Hans Isaac dan beberapa selebriti tempatan termasuk pengacara Neelofa tampil melalui kempen Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu demi mendidik masyarakat khususnya belia dalam menangani ancaman budaya kuning itu di media sosial.

Menurut Neelofa, idea untuk mengadakan kempen berkenaan tercetus selepas melihat generasi muda khususnya begitu lantang melontar kritikan dan kecaman tanpa bersebab menggunakan platform berkenaan.

“Saya sendiri menjadi mangsa buli siber setiap hari, pasti ada saja komen negatif di akaun media sosial saya. Sedangkan bagi saya, sepatutnya media sosial menjadi platform untuk melontarkan pelbagai pandangan yang membina.

“Namun, terdapat begitu banyak pihak menggunakan kemudahan yang ada untuk mengkritik dan menjatuhkan seseorang.

“Hal ini juga saya dapat lihat wujud dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah. Ada di antara mereka yang memberi komen melampau, jika tidak dibendung, masyarakat di masa depan akan terdiri daripada generasi tidak berbudi bahasa,” katanya.

Neelofa dan Hans ditemui pada majlis pelancaran kempen berkenaan di Kuala Lumpur hari ini.

Kempen 'Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu' itu dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Bertemakan "Sebar Fakta Bukan Dusta" dan "Aku Bersamamu" kempen yang mendapat sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang hak-hak melindungi diri daripada buli siber dan penyebaran maklumat palsu.

Antara selebriti lain yang turut menyumbang usaha kepada kempen itu ialah Awal Ashaari, Scha Alyahya, Caprice, Joe Flizzoe, Ilaa Damia, Kavita Sidhu, Jane Teoh, Shahrol Shiro, Nora Danish, Maya Karin dan Adibah Noor.

Sementara itu, Hans yang bertindak selaku pengarah kempen berkata, selebriti antara golongan yang sering menjadi mangsa buli siber dan dirinya sendiri tidak terkecuali.

Katanya yang juga pengarah, penerbit dan pelakon itu, hal berkenaan pernah terjadi sewaktu dia menerima anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Datuk pada 2016.

“Memang dalam hati berkata sungguh kurang ajar pihak yang berani mempersoalkan anugerah diterima tetapi saya mengambil pendirian untuk tidak menulis apa-apa respon mengenai perkara terbabit di media sosial.

“Ada pihak yang masih mengecam sedangkan mereka tidak tahu sudah lebih 20 tahun saya berkecimpung dalam industri dan berapa juta ringgit telah dilaburkan sebagai penerbit bagi menaikkan nama industri,” katanya.


 

Lihat Komen
ADS