Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

ULASAN | Walaupun sudah merdeka 18 tahun, tetapi tugas membangunkan sebuah bangsa besar memang bukan sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi ideologi keras komunis sedang menyerap masuk untuk dijadikan sesetengah penganutnya menjadi sebahagian daripada ideologi nasional.

Ada golongan kiri, ada kolongan kanan; dan pada 1963 itu, sebuah makalah kecil yang dikenali sebagai “Manifesto Kebudayaan” pun diterbitkan. Ditandatangan hanya oleh sekumpulan kecil budaya seperti Taufiq Ismail, HB Jassin, Geonawan Mohamad dan beberapa lagi.

Di dalamnya bukan inisiatif dan projek wang ringgit kepada seniman—sepertimana hari ini apabila kita melihat ke dalam manifesto pilihan raya, yang ditawarkan kepada bidang seni budaya ialah inisiatif wang ringgit. Di dalam Manifesto Kebudayaan itu, yang kemudiannya dikenali dengan singkatan “Manikebu”, apa yang dirumuskan ialah keperluan untuk kebudayaan bangsa Indonesia berpaut kuat kepada roh dan semangat Pancasila.

Di samping itu, mereka juga menyatakan cita-cita untuk kebudayaan nasional dapat mengembangkan harga diri dan martabatnya di antara bangsa-bangsa lain di dunia. Di dalam penyataan seperti itu, ada kesedaran lain yang tidak kelihatan iaitu; kebudayaan adalah cerminan ketamadunan sesebuah bangsa.

Bangsa mana pun boleh diukur akan tinggi-rendah tamadunnya melalui kebudayaan. Kebudayaan adalah seperti cermin—dan cermin tidak akan menipu.

Cantik wajah sesuatu bangsa, maka yang terlihat di dalam cermin akan cantik. Buruk wajah sesuatu bangsa, maka yang terpancar di dalam cermin juga akan buruk.

Tidak menjadi matlamat kepada sesuatu budaya bangsa untuk duduk lebih tinggi atau menekan kebudayaan lain. Warna-warni kebudayaan bangsa-bangsa di dunia ialah sesuatu yang baik buat manusia.

Namun, adalah sangat lemah budaya sesuatu bangsa itu kalau ia tidak muncul di tengah-tengah kebudayaan bangsa lain di dunia; menyendiri dan tidak mampu menyumbang apa-apa. Demikianlah akhirnya, segala apa yang dilakukan oleh sesiapa sahaja sebenarnya mewakili wajah tamadun bangsanya. Kalau bangsa kita pengotor, maka kekotoran itu bukan sahaja boleh kelihatan di tepi-tepi jalan, tetapi juga di dalam kantor-kantor pemerintah.

Saya membaca satu persatu tawaran di dalam manifesto BN yang menyentuh soal kebudayaan dan nasib seniman. Banyak tawaran yang nampaknya cukup memikat dengan inisiatif-insiatif untuk membantu seniman dan bidang seni budaya. Daripada penubuhan Universiti P Ramlee, pelbagai tabung untuk seniman yang hidupnya tertekan, sampailah kepada kelas melukis buat anak-anak kecil.

Hidup segan mati tak mahu

Walaupun semua itu inisiatif yang boleh dikatakan baik, tetapi apa yang tidak nyata di dalam semua inisiatif seni-budaya berkenaan ialah satu kesedaran untuk memulih dan memacu bidang seni-budaya agar menjadi satu kegiatan ekonomi yang layak dan wajar dihormati. Hampir kesemua lapangan seni hari ini berada di dalam keadaan hidup segan mati tak mahu.

Industri muzik, teater, penerbitan buku, filem, lukisan sebenarnya masih gagal dipacu ke tahap yang maksimum sedangkan sumber manusia dan bakat yang ada pada bangsa ini adalah sangat besar. Walau bagaimana hebat pun daya bakat dan kreativiti yang ada, hanya kerana gagal memahami pokok persoalan, maka akhirnya semua itu hanyalah sia-sia belaka.

Lihat sahaja bagaimana Singapura menetapkan dengan jelas bahawa negara itu perlu menjadi pusat seni lukis Asia Tenggara.

Singapura tahu bahawa mereka tidak punya bakat yang cukup untuk bersaing. Jalan yang ada ialah dengan memakai atau menggunakan semua sumber daripada negara-negara jiran di Asia Tenggara untuk dimilikpunyakan oleh mereka. Modal pun dikeluarkan untuk membeli seberapa banyak, misalnya karya-karya seni halus dan lukisan untuk dikumpulkan di Singapura.

Strategi berkenaan sebenarnya sama sahaja dengan strategi mengambil sumber bahan mentah atau separuh siap yang ada dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan negara lain. Apa yang dilakukan oleh Singapura ialah menjadikan bahan itu produk siap atau yang lebih mudah ialah membuat pembungkusan (packaging) yang betul. Kemudian diletakkan label “made in Singapore”—sedangkan semua bahan mentah atau separuh siap itu bukanlah milik mereka.

Kesedaran bahawa Malaysia mempunyai sumber dan bakat tidak terasa sama sekali di dalam hal-hal kebudayaan dalam manifesto BN. Apa yang ditawarkan tidak lebih seolah-olah tawaran seorang kaya yang ingin membuat amal jariah kepada orang miskin. “Orang kaya” itu adalah kerajaan, dan “orang miskin” itu adalah seniman.

Kalau pun niat baik pentadbiran Najib Razak, namun niat baik itu tidak boleh terhenti di situ. Perlu ada kesedaran yang lebih besar bahawa lapangan seni budaya boleh dipacu sama ada secara ekonomi mahupun untuk tujuan yang lebih besar iaitu sebagai cermin tamadun bangsa seperti yang saya hurai di awal tadi.

Sekiranya dua kesedaran itu wujud, maka penyediaan manifesto tidak akan hanya menyebutkan soal program atau inisiatif-inisiatif yang menggambarkan seolah-olah seniman adalah golongan yang tidak berguna, pengemis dan tidak berdaya.

Pada dekad 1990-an, kita sudah saksikan bagaimana kebangkitan industri muzik didorong oleh band-band rock sehingga berjaya menjadi fenomena dan menerobos ke pasaran luar. Hasil yang dijana bernilai berbilion ringgit dan waktu itu “rock kapak” adalah jauh lebih besar daripada “k-pop” yang kita lihat hari ini sekalipun.

Pada akhirnya, bagaimanakah kegemilangan seni budaya bangsa ini boleh diperkasa? Saya tidak mempunyai jawapan khusus mengenainya, selain dua hal.

Pertama, politikus dan penguasa harus sedar kepentingan kebudayaan dan tanggungjawab mengangkat tamadun bangsa. Kedua, kita harus ikhlas kerana seni budaya bukan pakaian palsu bagi budak hingusan yang mahu bergalak dan bergaya tak tentu kira.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS