Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dira kata Wardina tak kenal DAP
Diterbitkan:  Apr 27, 2018 5:41 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

PRU14 | Bekas pelakon yang kini menyertai politik Dira Abu Zahar menempelak personaliti terkenal Wardina Safiyyah yang akhir-akhir ini lantang mengeluarkan pendapat tidak digemari BN.

Dalam nada mahu mengajar Wardina, Dira bertanya, adakah selebriti terkenal itu mengenali perjuangan DAP dengan sesungguhnya.

Kata exco Puteri Umno Malaysia itu DAP ialah parti yang dipimpin orang yang "memperkecilkan" Islam dan tidak mengendahkan kepentingan Melayu di negara ini.

“Apa yang DAP cuba praktikkan adalah untuk mencabul hak ini dengan memperkecilkan hak Islam dan orang Melayu di tanah Melayu ini sendiri.

“Jika tidak, masakan DAP berani menyebut Malaysian Malaysia - satu slogan yang agak panas saya kira - dengan falsafahnya mungkin terkandung bahawa Islam bukan agama rasmi, sebaliknya semua agama patut disamaratakan," katanya dalam satu kenyataan.

Wardina dalam kenyataannya di Facebook sebelum ini menyatakan rasa kesal apabila ada segelintir pemimpin menunjukkan akhlak tidak baik dan mengeluarkan kata-kata keji untuk menewaskan pihak lawan.

Dakwa azan perlahan

Katanya, sesetengah pemimpin politik bermain sentimen agama dan kaum untuk dijadikan modal bagi menakut-nakutkan orang Islam.

“DAP sebagai modal nak takutkan orang Islam? Sudah-sudahlah main sentimen agama. Orang sekarang dah bijak banyak.

“Tidak hairan kenapa pengikut caci-maki sana sini, tengok cara pemimpin menjatuhkan pihak lawan. Suka bermain emosi. Suka gunakan agama. Suka menakutkan,” katanya.

Kata Dira, pelakon sitkom Spanar Jaya itu sebenarnya tidak melihat dari "sudut pandang sebenar" perjuangan DAP yang didakwanya tiada falsafah maruah bangsa dan agama.

Pemilik nama sebenar Khaidhirah Abu Zahar, 34, itu kemudian mempersoalkan: “Inikah yang Wardina mahu?”

Katanya, belum pun memerintah DAP telah menunjukkan belang dengan menolak agenda yang selari dengan Islam.

“Ini bermaksud golongan murtad perlu diberi hak. Golongan liberalis perlu dibebaskan.

"Golongan LGBT yang jelas mencabar undang-undang agama Islam diberi sanjungan.

“Belum lagi memerintah DAP telah mencabar orang Islam Melayu dengan menolak RUU355. Belum lagi memerintah, pelbagai isu telah timbul di Pulau Pinang seperti memperlahankan azan dan sebagainya,” katanya.


Baca Disindir pedas tapi Fathia hormati hak bersuara Puteri Umno


Bagi anak bekas ketua menteri Melaka, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin itu, tiada yang lebih elok selain parti yang diperjuangkannya selama ini, iaitu BN.

“Umno dan BN akan tetap teguh pada perjuangan kami agar tidak runtuh dek kejarkan kuasa.

“Malaysia di bawah pimpinan kerajaan BN tetap mengamalkan kesaksamaan mengikut undang-undang yang ditetapkan dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Kita hari ini tetap mengamalkan kesaksamaan, iaitu semua bangsa dan agama akan merasai keistimewaan dari segi prasarana, kemodenan, perniagaan dan lain-lain,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS