Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bahasa rojak dalam filem kita
Diterbitkan:  Apr 29, 2018 6:02 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

ULASAN | Apa sudah jadi dengan industri perfileman di tanah air kita? Sejak akhir-akhir ini, filem yang dihasilkan terasa tidak berjiwa.

Ya, saya akui, jalan ceritanya mungkin menarik. Tetapi, skrip yang dilafazkan watak seakan-akan sudah hilang jati diri Melayunya.

Bagaimana pula dengan dialog dalam filem? Dialog yang dilafazkan oleh watak dalam filem zaman sekarang dirasakan cukup selamba kerana sudah tidak banyak menggunakan bahasa Melayu standard.

Lebih memeningkan, penggunaan bahasa pasar atau yang berbaur bahasa rojak serta slanga turut menjadi punca mengapa tiada lagi bahasa Melayu standard digunakan dalam dialog lakonan mutakhir ini.

Malah, kecenderungan penerbit menghasilkan filem yang bersifat kontemporari dikatakan punca kurangnya dialog yang enak didengari, iaitu apabila banyak kerancuan bahasa dalam filem tersebut.

Akhirnya, bahasa Melayu standard seperti yang dilakonkan oleh P. Ramlee satu ketika dahulu sudah tidak lagi digunakan dalam indusri perfileman tanah air walaupun penggunaan bahasanya telah memberi kesan kepada semua peringkat tanpa mengira usia.

Orang tua, remaja, kanak-kanak, semuanya akan terhibur apabila menonton filem yang dilakonkan oleh P. Ramlee.

Mengapa boleh terjadi demikian? Sudah pasti kerana bahasa Melayu standard dituturkan secara rapi dan tersusun tanpa menyelitkan bahasa rojak.

Oleh itu, sudah tiba masanya penggiat seni tanah air memainkan peranan masing-masing.

Hakikatnya, pelbagai pihak boleh dijadikan rujukan untuk menyemak penggunaan bahasa dalam filem, termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) jika mereka sememangnya bermatlamat mahu mengekalkan keaslian bahasa Melayu.

Semoga selepas ini kita dapat menikmati kembali susunan dialog bahasa Melayu standard dalam filem-filem di Malaysia.


NURUL JANNAH SHAHBUDDIN Anak Melayu yang merindukan filem Melayu asli.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS