Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Jika ahli politik berkempen dengan ucapan-ucapan bersemangat dan berapi, di pentas tertentu kini muncul sekumpulan anak muda yang membawa misi sama tetapi dengan cara berbeza.

Mereka yang dikenali sebagai Teater Jalanan Malaysia Muda (TJMM) menyebarkan mesej mengenai isu semasa negara melalui lakonan.

Mereka menggunakan pentas drama atau teater itu untuk memberi kefahaman kepada orang ramai dan pada masa sama berinteraksi dengan mereka.

“Kami Teater Jalanan Muda Malaysia mengangkat isu dekat dengan rakyat antaranya yang menyentuh isu keadilan sosial seperti kenaikan harga barang, GST, mahasiswa dan perkauman.

“Orang dalam parti politik mungkin tidak berbicara secara nyata, justeru tugas kami adalah untuk memberi kesedaran dan memahamkan orang ramai mengenai fakta sebenar di sebalik lakonan,” kata seorang daripada pelakon, Siti Nurizzah Tazali, 28, kepada Malaysiakini.

TJMM setakat ini pernah mempersembahkan sebanyak empat buah teater di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, Pahang dan Terengganu menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Selain beberapa orang mahasiswa, kumpulan itu turut dijayakan oleh golongan yang sudah bekerja.

Izzah yang juga bertindak sebagai setiausaha Malaysia Muda - satu gerakan membina kesedaran sosial - berkata, TJMM yang dianggotai kira-kira 20 pelakon itu biasa menerima pelbagai respon menarik daripada penonton.

“Benda ini mungkin unik kerana bukan bercakap pasal politik secara langsung tetapi memberi gambaran nyata apabila berinteraksi lebih dekat dengan penonton.

“Ada penonton yang marah dan takut apabila kami mengetengahkan isu seputar dalam negara, sebagai contoh pernah ada seorang makcik merampas mikrofon untuk bercakap,” katanya.

Menyedari kesedaran masyarakat amat penting, Izzah berkata bagaimanapun tugas itu sememangnya memberi cabaran selain memakan masa.

Justeru, Izzah berharap usaha mereka dapat diteruskan biarpun sesudah berakhirnya PRU pada 9 mei ini.

“Setakat ini tiada perkara negatif kami terima mahupun kekangan daripada mana-mana pihak, mungkin disebabkan kami bergerak dalam skala kecil.

“Tidak kisah siapa akan berada di atas (pemerintah) suatu hari nanti, jika dia pemimpin zalim dan menindas, adalah menjadi satu kewajiban untuk rakyat membuat pilihan yang sewajarnya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS