Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Uqasha tetap berlakon lepas terpalit kes dadah
Diterbitkan:  May 8, 2018 2:03 PM
Dikemaskini: 6:07 AM

Selepas dibebaskan dengan jaminan polis, pelakon Uqasha Senrose tetap meneruskan kehidupannya seperti biasa, termasuk menjalani penggambaran drama seperti dijadualkan.

Sutradara Michael Ang, mengesahkan aktres popular itu masih hadir ke lokasi penggambaran drama bersiri Rahsia Hati Perempuan yang diarahkannya.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku. Dia ada di sini meneruskan penggambaran malah tiada sebab untuk kami tangguhkan penggambaran ini.

“Jika diikutkan, penggambaran drama Rahsia Hati Perempuan hanya akan selesai pada bulan depan dan Uqasha masih mempunyai banyak babak untuk dihabiskan,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Pada 6 Mei lalu, pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan dadah jenis Erimin 5.

Penemuan dadah itu dibuat selepas Uqasha, 25, terbabit dalam kemalangan di Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Uqasha yang memandu sebuah SUV pada jam 11.45 pagi seorang diri terbabit kemalangan selepas melanggar kenderaan Honda BRV dipandu seorang lelaki.

Nafi dia lalok

Bagaimanapun Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata ujian air kencing yang dijalankan ke atas Uqasha mendapati ia negatif dadah.

Aktres terbabit kemudian dilepaskan selepas keterangannya direkodkan.

“Polis akan menghantar 53 pil disyaki dadah Eramin 5 ke Jabatan Kimia manakala kertas siasatan berkaitan kemalangan dan penemuan dadah dalam beg pelakon itu akan dihantar kepada Jabatan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Susulan kejadian, kakak kepada Nelydia Senrose itu menutup ruangan komen di Instagram miliknya hingga ke hari ini.

Namun, tindakannya itu terpalit kepada Nelydia apabila pengguna alam maya mula menggunakan akaun Instagram miliknya untuk dijadikan medan ‘perang’ berhubung kes dihadapi kakaknya.

Dalam pada itu, Harian Metro melaporkan Uqasha mengaku dia langsung tidak berada dalam keadaan khayal walaupun berlaku penyebaran gambar seorang wanita mirip wajahnya yang didakwa diambil di balai polis.

“Saya tidak lalok langsung. Ujian air kencing sudah dilakukan dan keputusannya negatif,” katanya.

Lihat Komen
ADS