Seni & Hiburan Malaysiakini

Aktivis seni cadang bentuk pelan induk seni negara

Nadia Azam  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Penganjur Himpunan Harapan Warga Seni berkata banyak masalah dalam industri hiburan dapat diatasi jika kerajaan menyediakan pelan induk khusus bagi mengelak ketirisan yang sering berlaku.

Bagi menangani masalah itu, pengerusi acara berkenaan, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar mencadangkan kerajaan mewujudkan sebuah sekretariat yang berperanan untuk menyelia industri hiburan secara keseluruhan.

“Masalah dari dulu sampai sekarang adalah penggiat seni mempunyai terlalu banyak kementerian yang menjaga industri sampai naik pening hendak adu sesuatu masalah, kita juga tidak mahu ada pita merah (red tape) kerajaan.

“Diharap dengan penubuhan agensi ini dasar-dasar baru dapat dirangka seterusnya diiktiraf kerajaan dan dilaksanakan demi kepentingan penggiat seni,” katanya pada Himpunan Harapan Warga Seni yang diadakan di Kuala Lumpur semalam.

Selain Zaienal, turut hadir sebagai panel antaranya Datuk Norman Abdul Halim, Francis Danker, Ong Peng Chu dan Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy.

Zaienal berkata, walaupun sekretariat berkenaan ditubuhkan tidak berlaku pertindihan tugas dengan persatuan sedia ada yang menguruskan hal kebajikan penggiat seni di negara ini.

“Fungsi tidak berlaga. Pada pandangan saya jika ada sebuah sekretariat dan ada pula persatuan di bawahnya yang kukuh mewakili pelbagai bidang harap ia dikekalkan.

“Jadi, apabila hadapi masalah boleh merujuk persatuan manakala jika ada masalah dari segi pelaksanaan boleh merujuk kepada sekretariat,” katanya.

Dalam ucapannya, Zaienal antaranya menyatakan keinginan melihat perubahan lebih baik untuk penggiat industri apabila kerajaan baru dibentuk selepas pilihan raya umum ke-14 berlangsung 9 Mei lalu.

Harapan Zaienal ialah untuk melihat manfaat bukan hanya menguntungkan segelintir pihak sebaliknya dinikmati secara adil atas titik peluh seniman.

Justeru, 'Grand Design Industri Seni dan Hiburan' akan dirangka hasil daripada perbincangan, cadangan dan pandangan semua warga seni yang kemudian akan diajukan kepada pihak kerajaan untuk mendapat persetujuan dan pelaksanaan segera.

“Ini adalah langkah pertama, dapatkan respon dari industri dan selepas ini mungkin akan ada bengkel atau sebagainya. Apa jua cadangan dialu-alukan demi kebaikan industri,” katanya.

Bagaimanapun, bagaimana Grand Design Industri Seni dan Hiburan itu tidak diperincikan.

Walaupun idea untuk menubuhkan agensi ini sudah difikirkan sejak tahun 2000, Zaienal berkata beliau hanya berkesempatan untuk menguar-uarkan perkara ini selepas pembentukan kerajaan baru.

Bagaimanapun, Zaienal berkata beliau tidak mempunyai kepentingan politik apabila mengetengahkan perkara ini.

“Masa itu keadaan politik tidak mengizinkan untuk suarakan hal ini kerana keadaan kepimpinan iaitu sewaktu pemerintahan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Jadi sekarang saya ambil peluang ini untuk laksanakan kerana saya melihat 40 peratus pengundi datang dari orang muda yang mahukan pekerjaan dan mahukan hiburan.

“Dalam industri hiburan juga ada peluang pekerjaan besar,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas tentang acara ini yang dibuat terlalu awal sedangkan susunan kabinet belum diputuskan Zaienal menjawab sudah sampai masanya pemikiran kuno dihapuskan.

“Warga seni perlu bersatu, tidak perlu tunggu menteri, baru hendak memulakan sesuatu. Jawatan mereka akan bersilih ganti,” katanya.