Apabila nama Sharifah Amani disebut-sebut sesetengah orang sebagai individu yang bakal menduduki kerusi penting dalam Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), muncul perasaan kurang selesa pada benak aktivis seni itu.
Ditambah pula dengan usikan rakan-rakan yang semakin menjadi-jadi di Twitter, semuanya membuat Sharifah Amani mengambil keputusan merehatkan media sosialnya selama dua hari.
Bukan apa, dia cuma bimbang.
Sharifah Amani bimbang kalau-kalau kerusi itu nanti jatuh pada tangan individu yang tidak layak untuk memimpin dunia seni yang mengidamkan pembaharuan apatah lagi sempena penubuhan kerajaan baru Pakatan Harapan (HARAPAN).
“Apabila orang mula bercakap soal ini, saya takut.
"Berilah jawatan itu kepada orang yang benar-benar mengetahui perkembangan industri seni, tahu bekerja dan mempunyai pengalaman.
“Saya juga sedar diri dan sedar ruang. Saya tidak layak memegang sebarang jawatan tertinggi di Finas kerana tidak mempunyai pendidikan tinggi, sedangkan penggiat seni kita memerlukan seseorang yang berkaliber," katanya.
Jangan tamak kuasa
Pada masa sama Sharifah Amani mengingatkan tempat penting di Finas perlu diisi oleh orang yang benar-benar layak.
“Kalau beri jawatan itu kepada orang yang tidak tahu apa-apa maka tiadalah perubahan yang akan berlaku dalam industri,” katanya.
Pemilik nama penuh Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 31, itu ditemui pada sesi ramah mesra bersama Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Nama Sharifah disebut-sebut selepas kerusi pengerusi Finas kosong apabila penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meletak jawatan.
Mohd Khusairi ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim River. Walaupun mempertahankan kerusi itu, BN tumbang di peringkat pusat.
Menganggap semuanya sekadar suatu gurauan, Sharifah Amani menegaskan dia bukan seorang wanita yang mendambakan jawatan mahupun kuasa.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya kerap menghadiri mesyuarat bersama Finas tetapi tujuan saya cuma mahu mendalami selok-belok industri.
“Jangan tamak kuasa dan selebihnya diabaikan sedangkan badan pembangunan industri ini perlu berfungsi mengikut hala tuju ditetapkan,” katanya yang banyak berlakon filem, termasuk Sepet.
