Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

WAWANCARA | Perbezaan pandangan dan ruang bersuara yang lebih bebas di bawah kerajaan baru perlu ditangani dengan bijak termasuk di kalangan pelawak.

Walaupun Pakatan Harapan (HARAPAN) berjanji untuk bersikap terbuka kepada sebarang pandangan kritikal, seseorang pelawak tetap perlu menyeimbangkan hak berkenaan dengan prinsip demokrasi.

Bagi pelawak solo Kavin Jay atau Kavin Jayaram, memilih kerajaan sebagai subjek untuk jenaka memang satu pilihan yang ada.

Namun katanya ia tetap perlu dibuat dengan berhati-hati supaya tidak menyinggung sesetengah kalangan rakyat yang belum dapat menerima amalan sedemikian.

“Kerajaan dilihat amat terbuka untuk menerima sebarang kritikan buat masa ini tetapi sebahagian rakyat pula mengambil peranan untuk menyelar pihak yang dianggap mereka gagal membezakan kebebasan bersuara.

“Ini kerana rakyat masih marah kepada BN dan pada masa sama bersikap melindungi kerajaan baru.

"Keadaan ini mungkin berlarutan hingga dua atau tiga tahun.

"Hanya selepas itu mungkin orang ramai lebih terbuka dalam perbincangan membabitkan hiburan,” katanya kepada Malaysiakini.

Bekas jurutera marin

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu, HARAPAN diberi mandat oleh rakyat dan merampas Putrajaya serta mengetepikan BN yang memerintah lebih 60 tahun.

Peralihan kuasa itu menyaksikan rakyat diberi ruang kebebasan yang lebih luas, termasuk mengkritik kerajaan.

Di kalangan masyarakat Melayu nama Kavin mungkin masih janggal walaupun dia pernah muncul dalam program pertandingan berkonsepkan realiti, Maharaja Lawak Mega 2016.

Kavin, 38, juga bukan pelawak biasa-biasa. Sebelum menceburkan diri secara serius dalam bidang yang menjadi sumber pendapatannya hari ini, dia pernah bekerja sebagai jurutera marin.

Sudah 12 tahun berkecimpung sebagai tukang lawak, Kavin pernah membuat persembahan bersama beberapa nama besar dalam dunia itu termasuk dengan Harith Iskander, Afdlin Shauki, Jasong Leong, Douglas Lim dan Kuah Jenhan.

Sejak lima tahun kebelakangan ini, Kavin mula melakar nama di persada luar negara antaranya Singapura, Kemboja, Indonesia, Filipina, United Kingdom, Australia, Hong Kong dan Vietnam.

Namun, saat paling membanggakan Kavin ialah apabila dia diberi ruang untuk menjayakan rancangan komediri sendiri, Everybody Calm Down, yang disiarkan pada 2 Februari lalu di Netflix.

Dia kemudian berada di kedudukan nombor lapan dalam The Wrap dan 11 di IndieWire.

Dalam pada itu, menurut Kavin sesebuah komedi boleh memberi manfaat kepada sosial sekiranya pelawak mampu menggunakan humor untuk meningkatkan kesedaran terhadap isu-isu penting.

Elak wujud konflik

Justeru, berdasarkan hal itu, kata Kavin, sepatutnya tiada perkara yang tidak boleh disentuh.

“Selain tampil dengan jenaka kosong semata-mata, pelawak boleh membangkitkan isu dalam negara sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan pentadbiran sesebuah kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, apabila lawak boleh berperanan sebagai pembawa dimensi baru dalam kehidupan, bukan mudah untuk menimbulkan perasaan lucu terutama apabila ia mengetengahkan masalah rakyat.

“Kalau nak kutuk, isu begini tidak boleh buat secara langsung. Pelawak perlu buat penonton tergelak tetapi pada masa sama mereka berada dalam keadaan separa sedar mengenai apa yang diperkatakan.

“Pelawak harus membuat cerita lucu yang tidak mudah dilupakan, tetapi pada masa sama mereka perlu bijak mempersembahkan subjek kerana jika tidak, ia boleh bertukar menjadi pernyataan konflik,” katanya yang merujuk kepada mesej berbentuk metafora.

Sementara itu, mengulas mengenai Netflix, Kavin berkata, dia diberi kepercayaan untuk mengikat kontrak dengan syarikat perkhidmatan TV Internet AS itu selama empat tahun.

Bagi menghasilkan kandungan baru untuk Netflix, Kavin merencana jadualnya dengan persembahan jelajah di Malaysia bermula Ogos depan dan seterusnya ke AS dan Eropah.

“Saya akan kumpulkan jenaka terbaik sepanjang jelajah sebelum menyerahkannya kepada Netflix.

“Antara lokasi tempatan bakal dilawati adalah Kuala Lumpur, Kuching, Miri, Labuan, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang manakala beberapa tempat di AS dan Eropah masih dalam perbinacangan,” katanya.

Lihat Komen
ADS