Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Jika ada mana-mana pihak beranggapan Nabil Ahmad sekadar bergurau ketika menyatakan hasratnya untuk menzahirkan sebuah karya sendiri, pelakon dan pelawak itu kini tampil membuktikan bahawa mereka salah.

Kini mengembangkan bakat ke luar daripada sekadar pelawak, Nabil berkata mungkin orang tidak memandang serius kepada dirinya sesuai dengan kerjayanya.

“Sudah tiba masanya orang ramai mengambil serius terhadap sesuatu yang diperkatakan oleh seorang pelawak.

"Kalau ada yang ingat saya main-main sebelum ini, memang tidak sebenarnya,” kata Nabil.

Juara program realiti Raja Lawak musim kedua itu berkata demikian sebagai menjelaskan mengenai peranannya kini sebagai penulis skrip, pengarah malah penerbit filem TV.

Daripada sekadar berkongsi impiannya kepada media dua tahun lalu, kisah Nabil ingin menceburkan diri sebagai tenaga penting di belakang tabir kini akhirnya betul-betul menjadi kenyataan.

Anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan pada 34 tahun lalu itu ditemui pada majlis pratonton eksklusif filem TV The Hantus di Kuala Lumpur semalam.

Tiada jalan pintas

Dalam The Hantus, Nabil bertindak sebagai penerbit, pengarah bersama - di samping Helmi Yusof - dan juga penulis skrip.

“Penonton boleh menilai sama ada saya layak untuk bekerja di belakang tabir atau tidak melalui The Hantus,” katanya yang turut dikenali sebagai pengacara rancangan hiburan MeleTop.

The Hantus yang mengandungi lima bab berlainan diinspirasikan daripada kisah-kisah seram dan popular seperti Volkswagen Kuning, Hantu Kak Limah serta cerita-cerita tular seperti misteri taman Mimaland.

Filem TV yang akan disiarkan di Astro First Eksklusif bermula 15 Jun ini dijayakan barisan pelakon seperti Faizal Hussein, Hannah Delisha dan Alif Satar.

 

 

Bagaimanapun, Nabil menafikan statusnya sebagai pelawak terkenal yang terbina sejak 10 tahun lalu memudahkan dia menggunakan popularitinya untuk melariskan produk sendiri sewaktu sesi saringan diadakan dengan Astro.

"Popular macam mana pun seseorang, dia tidak mungkin boleh lepas saringan jika skrip dipersembahkan tidak cukup bagus.

"Ini projek babitkan bajet hingga RM500,000. Siapa nak ambil risiko?" katanya.

Malah kata Nabil, dia juga hadir pada sesi saringan skrip untuk The Hantus atas kapasitinya sebagai pengkarya biasa, bukan pemenang Raja Lawak.

“Lagi pun saya beranggapan sewaktu sesi saringan itu saya bukan hadir sebagai Nabil Ahmad, selebriti terkenal di televisyen. Pada waktu itu saya bukanlah sesiapa pun,” katanya.

Pada masa sama, Nabil berkata, sekali pun dia seorang daripada artis bernaung di bawah pengurusan Astro, tidak wujud jalan pintas dalam sesi saringan yang diadakan kira-kira enam bulan lalu itu.

Menurut Nabil, sama seperti produksi lain, dia juga melalui proses yang telus dan tiada istilah pilih kasih.

"Kena datang bawa barang baik, daripada zero (tak ada apa-apa) dah ada skrip dan seterusnya karya itu ingin disiapkan," katanya.

Sementara itu, mengulas penghasilan skrip The Hantus, Nabil berkata, kisah bergenre komedi seram itu dilayarkan 70 peratus mengikut cita rasanya.

“Alhamdulillah respon gelak ketawa penonton pada majlis hari ini amat menggembirakan hati saya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS