Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kalla: Hidup Atau Mati enggan ketinggalan menyumbang

Menyedari keadaan ekonomi negara yang masih terbeban dengan tanggungan hutang, Penerbit Eksekutif Kalla: Hidup Atau Mati tidak mahu ketinggalan daripada menyumbang kepada negara.

Justeru kata Datuk Suhaimi Ibrahim mereka bercadang untuk menyumbang sejumlah wang daripada hasil jualan tiket filem berkenaan kepada Tabung Harapan Malaysia.

Walaupun mengakui jumlah itu tidaklah seberapa, Suhaimi berkata, langkah berkenaan diharap dapat menjadi ikutan penerbit lain, sekali gus mereka juga menyempurnakan tugas untuk membantu kerajaan memulihkan keadaan kewangan negara.

“Kami akan menyumbangkan sebanyak 10 peratus daripada kutipan filem kepada Tabung Harapan Malaysia.

“Selain berbentuk sumbangan, ia juga sebagai menyokong usaha kerajaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Suhaimi ditemui pada majlis pelancaran poster filem Kalla: Hidup Atau Mati di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tabung Harapan Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas beliau mengadakan mesyuarat kabinet pada 20 Mei lalu.

Ilham dari New York

Ia ditubuhkan bagi mengukuhkan kewangan selain menguruskan sumbangan rakyat secara sistematik dan telus.

Selain penerbit berkenaan, Tabung Harapan Malaysia juga menerima sambutan memberangsangkan dalam kalangan penggiat seni tanah air.

Antaranya pelakon Alif Satar, Abby Abadi, Nurul Depp dan Fathia Latiff.

Kalla: Hidup Atau Mati yang dijadualkan menemui penonton di layar perak mulai 11 Oktober depan dibarisi pelakon seperti Faizal Hussein, Vanidah Imran, Farali Khan, Azhan Rani, Haeryanto Hassan dan Farah Ahmad.

Naskhah mengetengahkan tema saspens thriller diterbitkan syarikat Little Film Sdn Bhd itu berkisahkan tentang Ezahar - yang dilakokan Faizal - yang ditimpa musibah satu demi satu.

Dia terpaksa bergelumang dalam dunia penuh penipuan demi mencari isterinya Sherina (Vanidah) yang terbunuh akibat serangan bom pengganas.

Mengulas lanjut mengenai Kalla: Hidup Atau Mati, Suhaimi (gambar) berkata, ia dinsipirasikan daripada peristiwa serangan bom di New York AS pada 11 September di AS yang membabitkan hampir 3,000 kematian.

Katanya filem berkenaan bertujuan untuk menanam sikap cintakan keamanan dalam diri setiap penonton.

“Saya menyeru rakyat menolak keganasan kerana apabila mereka menyaksikan kisah peruntuhan berlaku dalam sesebuah negara, mereka akan didorong perasaan sedih.

“Tidak mudah untuk memajukan tetapi amat senang untuk merobohkan sesebuah negara.

“Saya yakin filem sarat mesej kemanusiaan dan sosiobudaya ini dapat menepati cita rasa penonton," katanya yang merancang untuk membawa Kalla: Hidup Atau Mati menembusi pasaran luar seperti di Indonesia, Thailand, Singapura dan Eropah.

Lihat Komen
ADS