Seni & Hiburan Malaysiakini

Rindu Faizal terubat dengan The Hantus

Nadia Azam  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Sebagai pelakon yang gemar mencuba pembaharuan, Faizal Hussein tidak teragak-agak menerima tawaran bagi membawa watak yang tidak pernah dilakukannya iaitu menjadi 'hantu'.

Atas alasan mahu mencuba kelainan dia menyahut cabaran itu dan menerima tawaran berlakon dalam filem TV The Hantus .

Filem itu merupakan sebuah karya yang bukan sekadar berkisar mengenai kisah seram semata-mata tetapi juga turut tebal dengan unsur komedi.

Menurut Faizal, kerinduan membuak-buak untuk membawa watak komedi antara faktor dia menerima tawaran berkenaan walaupun ia datang daripada pengarah baru, Nabil Ahmad.

"Sudah lama saya tidak bawa watak komedi, memang amat rindu untuk kembali berlakon di set penggambaran filem dengan genre sebegitu," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam filem TV terbitan Astro First Ekslusif itu, Faizal, 51, membawa karakter hantu Abang Volkswagen.

Selain Faizal, turut menjayakan naskhah yang bakal menemui penonton mula 15 Jun itu ialah Aliff Satar dan Hannah Delisha.

The Hantus juga adalah filem pertama Nabil sebagai penulis skrip dan penerbit.

Tidak gembira di set

Naskhah itu berkisar mengenai pertembungan dua dunia berbeza - realiti dan ghaib - yang dipersembahkan secara santai, lucu tetapi menyeramkan.

Kisah-kisah yang dipersembahkan dalam filem TV itu diilhamkan daripada beberapa cerita hantu yang tular dan filem popular seperti Hantu Kak Limah, Volkswagen Kuning dan misteri Taman Mimaland.

Faizal yang popular melalui banyak filem termasuk Bunohan dan Tombiruo itu lazimnya menerima tawaran untuk menjayakan watak lelaki yang sering bersedih atau pun ganas.

Disebabkan hal itu, kata Faizal, dia tidak sepenuhnya berasa "gembira" di set penggambaran.

"Jika berlakon cerita gembira atau kelakar saya akan berasa terhibur apabila berada di lokasi penggambaran kerana ia memberi keseronokan secara tak langsung," katanya.

Bagaimanapun, Faizal tidak khuatir sekiranya watak dibawakan dalam The Hantus mungkin sukar diterima peminat yang selama ini terbiasa dengan watak serius atau berat dilakonkannya.

Katanya, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk meyakinkan peminat terhadap sesebuah karya yang melibatkan dirinya.

"Sewaktu 1990-an, saya pernah membawa watak ringan seperti Gila-Gila Remaja dan XX Ray. Hasilnya saya memenangi anugerah Pelakon Lelaki Popular pada 1993.

"Generasi sekarang adalah angkatan baru, dan mereka belum ada pada ketika itu, justeru mereka tidak tahu.

"Sebagai pelakon, apabila ada peluang untuk menunjukkan bakat atau membuktikan bakat pada audien baru, saya akan terima dengan hati terbuka," katanya.