Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN | Jodoh seakan-akan menjadi masalah besar dalam masyarakat di negara ini sehingga berpuluh-puluh drama tentang jodoh disiarkan oleh televisyen tempatan dalam pelbagai slot.

Nur tampil dengan kisah jodoh juga tetapi melalui perspektif berbeza yang bersalutkan tema keagamaan.

Nur sebuah drama bersiri ringan yang masih menggunakan elemen pop. Segala yang biasa diingini oleh peminat drama Melayu ada dalam drama ini.

Perempuan yang terdera emosi, babak air mata, watak yang menyakitkan hati, dan sedikit jenaka menjadi rencah cerita.

Namun demikian, drama 19 episod arahan Shahrulezad Mohameddin ini menampilkan watak-watak agama dalam pelbagai karakter yang mewakili zamannya.

Zaman agama bukan sahaja menjadi anutan malahan menjadi alat untuk mencapai tujuan bagi memenuhi nafsu serakah.

Nur (Amyra Rosli) mewakili watak yang ingin keluar dari dunia lorong gelap dan mahu mengamalkan cara hidup yang diredaiNya. Nur ialah anak kepada Mona (Laila Nasir) seorang pelacur lanjut usia yang mewarisi kerja sebagai pelacur daripada ibunya. Kerja itu kemudiannya diturunkan kepada anaknya, Nur.

Namun, Nur ingin berubah, dia tidak mahu terus hidup dalam kancah hina seperti itu. Keikhlasan hatinya untuk berubah terpancar melalui sepotong doa yang diucapkannya selepas bersolat subuh di kaki lima lorong.

“Walaupun Kau tak pernah makbulkan doaku, tapi aku tetap bersyukur kerana Kau masih buka pintu hatiku untuk terus bersujud pada-Mu.”

Adam si ustaz muda

Selain itu, dia curi-curi mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Adam (Syafiq Kyle) dari luar masjid. Dia menulis soalan pada kertas dan menyampaikannya kepada Ustaz Adam melalui makmum perempuan atau kanak-kanak.

Suatu hari, pada ketika dia mahu menulis soalan, dia dikejutkan dengan kehadiran Ustaz Adam. Dia melarikan diri. Dari situlah bermulanya episod jodoh antara Nur dengan Ustaz Adam.

Ustaz muda itu mencarinya sehingga ke lorong gelap untuk mengetahui kesudahan soalan yang hendak ditulis oleh Nur.

Watak Adam bagaikan hendak memberitahu penonton bahawa dakwah tidak hanya harus berlaku melalui ceramah di masjid dan surau sahaja. Pendakwah juga patut turun padang – ke lorong-lorong gelap bertemu dengan golongan yang masih belum mendapat cahaya.

Begitupun, kerja baik Ustaz Adam tidak mudah, sebaliknya dia terpaksa berdepan dengan pelbagai tohmah dan mehnah.

Kedatangannya ke lorong gelap dipandang serong. Ada yang merakamkan kelibatnya bertemu Nur di lorong gelap itu dengan telefon pintar dan menyebarkannya melalui media sosial. Hal ini telah mencalarkan nama baik Ustaz Adam.

Nur dan Adam juga berhadapan dengan bapa ayam, Marzuki (Elmy Moin) yang memeras ugut wang RM100,000.00 sebagai cagaran membebaskan Nur daripada cengkamannya.

Marzuki pada mulanya ialah kekasih Nur yang berjanji ingin membawanya keluar daripada lorong gelap. Namun sebaliknya, Marzuki terpikat dengan Mona, ibu Nur dan berubah menjadi lelaki yang serakah.

Kecam penunggang agama

Ada yang beranggapan bahawa drama Nur cuba memburuk-burukkan golongan ulamak. Hal ini tidak tepat kerana drama ini sebaliknya mengangkat golongan ulamak yang mahu mengubah hidup insan yang tergelincir dari jalan agama. Perkara ini ditampilkan melalui watak Adam dan bapanya, Datuk Haji Mukhsin (Datuk Jalaluddin Hassan).

Namun demikian, persoalan tentang eksklusif dalam beragama ini tidak digarap dengan ketara dalam drama Nur. Hanya dikupas pada kulitnya, tidak secara mendalam.

Drama ini turut mengecam golongan penunggang agama yang memperalatkan agama untuk memenuhi nafsu serakah. Syed Hamadi (Azhan Rani) yang diberikan kepercayaan oleh bapa mentuanya, Datuk Haji Mukhsin untuk mentadbir Darul Mukhsin telah mengkhianati amanah yang diberikan kepadanya.

Dia bukan sahaja menyalahgunakan sumber kewangan pusat pengajian tersebut malahan terjebak dengan pinjaman haram serta melanggan pelacur.

Dalam drama Nur, Hamadi bukanlah ulamak dalam erti kata yang sebenar. Pada awal perkenalan, isterinya, Aishah ((Noorkhiriah Ahmad Shapie), anak Datuk Haji Mukhsin memperkenalkannya sebagai ustaz agar dia tidak dipandang hina oleh keluarga isterinya itu.

Hakikatnya, Hamadi tidak layak untuk menjawat kedudukan tersebut. Oleh itu, menganggap drama Nur sebagai cuba untuk memburuk-burukkan golongan ulamak adalah tidak begitu tepat.

Aishah pula telah menjadikan agama sebagai bahan dagangan yang digunakannya untuk mendapatkan keuntungan dunia. Perdagangan bersumberkan agama ini dimulakan oleh Aishah dengan menjadikan bapanya penceramah selebriti.

Kejayaan tersebut tidak memadai bagi Aishah, dia mengambil kesempatan populariti adiknya, Adam yang baru balik dari Jordan untuk diangkat menjadi ustaz selebriti pula bagi menggantikan tempat ayahnya.

Bukan itu sahaja, Aishah juga mahu menjodohkan Adam dengan Qhadeeja (Riena Diana) bagi memenuhi impiannya untuk membuka rumah penerbitan sendiri.

Perkahwinan antara Adam dan Qhadeeja akan memudahkan Darul Mukhsin untuk bekerjasama dengan Tajuddin Holding milik bapa Qhadeeja, Datuk Tajuddin (Zaidi Omar). Aishah berselindung di sebalik tirai agama untuk memenuhi impian keduniaannya.

Bagi penunggang agama seperti Hamadi, dosa dan pahala menjadi bahan ugutan dan umpanan. Dia mengugut isterinya dengan balasan dosa apabila isterinya itu menegur sikapnya yang tidak bertanggungjawab.

Dia mengumpan pekerja dan pelajar di Darul Mukhsin dengan pahala apabila mereka merungut tentang masalah kemudahan di pusat tahfiz tersebut.

Misalnya, tatkala Ustaz Yassin (Hasrulnizam Osman) hendak berhenti daripada menjadi warden Darul Mukhsin, Hamadi telah mengumpannya dengan balasan pahala menjaga anak-anak yatim. Ustaz Yassin lantas membatalkan hasratnya, lebih-lebih lagi Hamadi turut memberikan sebahagian wang gajinya yang telah berbulan-bulan tertunggak.

Lakonan berkesan

Watak siak (Kamsani Ismail) pula digambarkan sebagai orang yang berasakan bahawa dia telah mengamalkan ajaran Islam tanpa menyedari tindakannya itu salah sama sekali.

Watak siak ini walaupun hanya watak kecil dalam drama Nur tetapi cukup meninggalkan kesan kepada penonton.

Ibu Adam, Datin Hajah Musalmah (Fatimah Abu Bakar) pula hidup dalam dilema kerana terlalu mengikutkan perasaan dan mahu menjaga nama baik keluarga. Beliau sedar bahawa tindakannya tidak merestui perkahwinan Adam dan Nur itu salah tetapi beliau tidak boleh menerima hakikat bermenantukan pelacur.

Lebih-lebih lagi, beliau termakan hasutan anaknya sendiri, Aishah yang terdesak apabila impiannya tidak tercapai setelah perkahwinan antara Adam dengan Qhadeeja menemui kegagalan.

Pada saat hatinya mula terbuka untuk menerima Nur pula, keyakinannnya mulai goyah kembali ketika mengetahui Nur telah mengandung.

Sekali lagi Aishah menyucuk jarum kebencian dengan berkata kepada ibunya, “Seronok? Dapat cucu anak pelacur? Nanti kalau orang kampung kata, jangan sentap”.

Lakonan yang mantap ialah kekuatan drama Nur. Gerak badan, mimik muka dan lontaran suara para pelakon berjaya menterjemahkan mauduk cerita dengan berkesan. Lakonan paling berjaya ditampilkan oleh Fatimah Abu Bakar melalui watak Datin Hajah Musalmah.

Penonton dapat merasakan betapa hati ibu yang remuk redam setelah anaknya memilih pelacur sebagai isteri.

Adegan paling diingati dalam drama Nur ialah adegan sup bunjut. Adegan ini menjadikan sup bunjut tular di media sosial bukan sahaja dalam kalangan penggemar drama ini malahan berjangkit kepada yang tidak mengikutinya.

Wajah pelbagai rona

Namun adegan yang paling menyentuh perasaan ialah adegan praakhir drama ini. Nur berlari mendapatkan ibunya yang terlantar nazak di kaki lima lorong tempat dia selalu menunaikan solat subuh. Ibunya menghembuskan nafas terakhir di pangkuan Nur setelah mengucapkan kalimah, “Allahu Akhbar”.

Semasa adegan ini, saya teringat akan dialog Jojo (Jijie Zainal) sewaktu menemani Mona yang ingin menemui Nur yang tidak ditemui semenjak anaknya itu berkahwin dengan Adam.

Aishah telah menghalang dan menghina Mona. Sebelum mereka melangkah pergi, Jojo berkata kepada Aishah, “Hei, perempuan! Kau sombong ya, kau sombong ya dengan iman yang Allah bagi kat ko dengan kitorang yang tak bernasib baik.”

Saya tertanya-tanya, adakah orang yang “sombong dengan iman” ini akan dapat mengakhiri hayat mereka dengan kalimah yang diucapkan oleh Mona, pelacur yang dipandang hina?

Melalui watak Jojo, kita dapat membuat penilaian tentang sikap manusiawi yang tulus dan yang mengharapkan ganjaran (pahala misalnya). Aishah sebagai contoh takut berdosa kerana derhaka terhadap suaminya tetapi tegar menfitnah dan menipu demi untuk mencapai tujuan dunia.

Banyak lagi wajah agama pelbagai rona boleh kita kutip daripada drama Nur yang dapat diringkaskan seperti yang berikut:

  • Yang beramal dengan ajaran agama yang betul dan sepatutnya.
  • Yang berfikir bahawa dia mengamalkan ajaran agama yang betul tetapi sebenarnya tergelincir daripada ajaran yang sebenar.
  • Yang sedar bahawa ajaran agama tidak sebegitu tetapi bersikap bejat kerana terlalu mengikut emosi
  • Yang sedar bahawa diri telah jauh daripada ajaran agama tetapi tidak menemukan jalan ke arah yang benar.
  • Yang sudah jauh daripada ajaran agama tetapi tidak insaf.
  • Yang menjadi penunggang agama.

Sewaktu saya mula-mula menyentuh tentang drama Nur di Facebook, seorang rakan, Normala Ali menitipkan komen,” Agak-agak, kalau Nur tu tak cantik, ustaz tu bersungguh sungguh tak nak bantu?”

Saya mengklik butang like dan bertanya di dalam hati, “Agak-agak kalau Nur di dalam drama itu tidak secantik Amyra Rosli, adakah banyak orang akan menonton drama tersebut?”


RIMANILZAH ialah pendidik dari Kota Basah di utara semenanjung. Peminat filem, buku, sajak dan barang vintaj.

Lihat Komen
ADS