Penyanyi yang juga usahawan Mila Jirin meminta Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran membuat kajian terperinci sebelum memuktamadkan keputusan berkaitan isu pemilik restoran hanya dibenarkan mengambil tukang masak tempatan sebagai pekerja.
Sehubungan itu, Mila mengemukakan cadangan untuk mengadakan sebuah pertemuan dengan Kulasegaran bagi mengadakan sesi berdialog bersama.
“Saya mohon untuk berdialog dengan menteri untuk isu ini. Adakah Menteri M Kulasegaran membuat kajian terperinci sebelum membuat keputusan dan pengumuman ini,” katanya di Instagram.
Terdahulu Kulasegaran dilaporkan berkata restoran tempatan diwajibkan menggaji tukang masak yang terdiri dari warganegara bermula 1 Julai depan.
Jutawan katering, restoran masakan Thai
Laporan itu juga berkata, pengendali restoran diberi tempoh hingga akhir 2018 bagi memastikan dapur mereka hanya dikendalikan tukang masak tempatan.
Bagaimanapun, selepas mendapat kritikan dan maklum balas orang ramai Kulasegaran memaklumkan bahawa peraturan itu masih berada dalam peringkat cadangan dan belum muktamad lagi.
Mila yang juga dikenali sebagai jutawan katering itu berkata, selama enam tahun menguruskan restoran masakan Thailand miliknya dia berdepan pelbagai masalah apabila cuba menggaji pekerja tempatan.
Pemilik nama asal Norsyamilla Jirin (gambar) itu meluahkan isunya bukan soal gaji malah tidak semua anak tempatan ingin digelar sebagai tukang masak kedai tomyam.

“Untuk restoran Embun Urai yang menyajikan masakan Thai, kami gajikan pekerja dari Thailand untuk memasak dan saya menggunakan PLKS bagi semua pekerja Thai saya di restoran.
“Orang yang buka restoran akan faham apa saya cuba katakan.
“Bekerja di kedai tomyam bukan macam di dapur hotel, dulu lima tahun lepas waktu pekerja Thai saya berhenti, saya cari pekerja tempatan lepasan kolej/ uni mereka tak nak bekerja di kedai tomyam, alasannya hanya mereka (pekerja Thai) yang tahu,” katanya.
Untuk rekod, Mila, 30, yang memiliki perniagaan Bizmilla itu juga menggaji kira-kira 60 pekerja tempatan untuk jawatan lain bagi perusahaan katering berkenaan selain mengupah tukang masak tempatan kerana sifat perniagaan itu yang menyajikan makanan Melayu.
Kena teruk waktu GST
Mila juga pada masa sama berpendapat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini menimbulkan masalah ke atas perniagaannya.
“Apabila menteri buat keputusan tanpa mengkaji dahulu dan buat survey dengan kami peniaga-peniaga yang mengusahakan restoran yang menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS.)
“Dulu kami kena teruk waktu GST dikenakan saban bulan pendapatan hanya mencukupi kos operasi sahaja harga barang tinggi tetapi harga makanan di restoran tomyam tetap kekal tidak dinaikkan.
“Bila mereka nak hentikan PLKS pula mesti banyak kedai tomyam akan tutup sebab apa? sebab bukan senang nak cari tukang masak.
“Kalau senang tak payah kami pemilik restoran tomyam buang masa pergi buat PLKS pagi-pagi, beratur di imigresen, hantar pekerja buat pemeriksaan kesihatan, suntikan tifoid dan hantar pergi kursus pengendalian makanan,” katanya.
