Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) Kelantan akan memperkasakan semula kesenian Menora dan Makyung di negeri ini bagi memastikan keunikannya terus dapat dikekalkan.
Pengarahnya Norwahidah Zinalibdin berkata satu kerjasama strategik akan dilaksanakan dengan beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Kelantan.
"Kesenian Menora dan Makyung yang terdapat di Kelantan mempunyai nilai yang sangat unik dan eksklusif dan perlu dipelihara. Kesenian ini perlu terus pelopori oleh golongan pelapis agar tidak disisihkan dan terkubur dalam mendepani cabaran arus teknologi semasa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Fiesta Perpaduan di Hati Sempena Minggu Perpaduan Peringkat Daerah Pasir Mas dan Tumpat di Tumpat, hari ini.
Fiesta tersebut diadakan bagi mengukuhkan perpaduan lebih 2,000 anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tumpat dan Pasir Mas melalui pelbagai aktiviti menarik termasuk demonstrasi masakan etnik, pertandingan seni kreatif Ranggoli, kayuhan bahtera perpaduan dan sukan tradisional.
"Bagi merealisasikan hasrat tersebut pihak kami akan memperkasakan penglibatan golongan muda Jiran Muda KRT terutama di Tumpat dan Pasir Mas yang sinonim dengan kesenian itu," katanya.
Sementara itu Norwahidah berkata peranan KRT akan terus diperkukuhkan sebagai ejen terkuat dan penyalur dasar dan polisi kerajaan di peringkat akar umbi.
Sehubungan itu katanya program JPNIN Kelantan akan diadakan dilokasi strategik dan lebih terbuka agar maklumat dapat disebarkan kepada masyarakat umum yang lain dan tidak terbatas kepada anggota KRT sahaja.
Katanya langkah itu dilihat mampu menyuntik semangat orang ramai untuk menubuhkan lebih banyak Rukun Tetangga di kawasan masing-masing.
- Bernama
