(Amaran: Ulasan ini mengandungi spoiler.)
FILEM | Entah kenapa, ketika melihat kerja kamera yang membawa bingkai visual memasuki ruang sebuah rumah miniature yang kecil, dari sebuah lagi ruang rumah sebenar yang lebih luas, saya merasakan filem Hereditary sedang membawa penonton memasuki sebuah naratif dalamnya menerusi sudut pandang sang Paimon.
Hal ini saya sedari di akhir filem, ketika kita sudah mengetahui sedikit sebanyak tentang sosok yang tak pernah dimunculkan di depan layar itu; dia adalah salah seorang daripada tujuh raja dari neraka yang semangatnya diseru untuk kembali dan menghidupi alam nyata — mungkin untuk menaungi iblis-iblis kultus yang hilang punca di muka bumi. Dan sepanjang bayang-bayang filem ini bermain di layar, saya senang membayangkannya sebagai sebuah neraka kecil yang dihidupkan oleh sang raja itu, yang sedang mempersembahkan ceritanya kepada kita.
Agak mudah untuk meneka pertalian yang mengikat cerita ini. Dalam norma budaya Melayu, sejak lama dulu kita mengenal hal ini sebagai saka. Ini jugalah maksud kata yang mendirikan judul filem berkenaan; sesuatu yang diwarisi atau diperturun dari susur galur keluarga. Dalam konteks ini, perkara itu tentulah bukan harta benda, tetapi satu semangat yang rahsianya hanya disimpan oleh ahli keluarga yang tua, dan dijauhkan dari pengetahuan anak cucu.
Tetapi, apa yang menjadikan filem ini jauh lebih berkesan adalah bagaimana cara Ari Aster, sang pengarah, menyampaikannya. Filem seram atau hantu biasanya akan berdiri dengan terma yang sama, dan mudah untuk meletakkan jangkaan yang tak jauh meleset tentangnya. Tetapi bukan dengan Hereditary.
Walaupun filem-filem dari genre sama yang terbit beberapa tahun kebelakangan ini boleh dikatakan berhasil dalam membawakan imej dan naratif yang ingin lari dari semua itu, atau paling tidak untuk melakukan percubaan ke arah itu — saya sedang merujuk filem-filem yang dihasilkan oleh kem pengarah/penerbit James Wan — Hereditary mengolah semula penceritaan tentang roh dan keseraman mengikut acuan yang sama sekali berlainan.

Ketika premis bagi latar kisah mungkin dirasakan sangat biasa, sisi penceritaan, perlambangan serta tumpuan terhadap "kemanusiaan" yang ditampilkan adalah juah daripada apa yang pernah dilihat sebelum ini. Kerana adanya "pembaharuan" seperti ini, yang sudah tentu terlahir dari pengamatan dan penilaian yang rinci, filem seram mempunyai nyawa lain, maka kita memperoleh sebab dan keperluan yang kukuh untuk menikmatinya.
Tak ada hantu puaka yang akan terlihat sama sekali; yang ada sebenarnya jauh lebih menakutkan daripada itu — benturan antara emosi dan akal, atau "state of mind" yang kelam. Ketakutan yang terlihat bukanlah dari imej seram, tetapi dari bayang-bayang dan suara kejahatan yang pernah manusia rasakan menjalar di dalam tubuh mereka.
Hereditary pertama sekali ialah sebuah potret keluarga yang tampak ideal dari luaran tetapi sebaliknya sedang dihurung oleh kegagalan fungsi kekeluargaan yang bertitik tolak dari hambatan emosi yang semakin hari semakin menompok tebal dan tak lagi mampu dibendung antara ahli-ahlinya.
Rahsia keluarga
Dari rahsia-rahsia keluarga yang tak pernah ingin di bicarakan, baik dari sang nenek yang awal cerita ini dibuka dengan kematiannya, dibawa pula oleh perseteruan anak perempuannya Annie (Toni Collete) yang sejak sekian lama tidak pernah merasakan terlalu dekat dengan si ibu, kepada suami Steve (Gabriel Bryne) yang tampak tenang dan cuba menanggapi semuanya dengan cara logika, sehinggalah kepada cucu-cucu keluarga terbabit yang "membawa" beban-beban ego, sejarah dan sekali lagi, emosi terpendam keluarga itu. Semua inilah yang menjadi hamparan dan melatari kisah gelap ini.
Ada satu babak yang hadir dalam visual pendek serta dialog yang tidak terlalu lama yang bagi saya sangat mengganggu dalam cerita ini. Pada sebuah diorama sebuah bilik kecil yang dihasilkan oleh watak Annie — yang dalam cerita ini seorang artis menghasilkan miniature dan diorama skala kecil dari episod-episod nyata dalam hidupnya — kelihatan seorang bayi dikendong untuk disusukan oleh seorang ibu, dalam raut wajah yang kosong. Berdiri di sisi katil ialah seorang perempuan tua, dengan sebelah payudaranya terdedah.
Dari dialog yang berlangsung sebelum itu antara Annie bersama salah seorang anaknya, semacam satu pengakuan ketika mereka membicarakan tentang hubungan Annie dengan sang nenek (Ellen) yang baru meninggal. Ketika melahirkan anak sulung lelaki, Annie langsung tidak membenarkan si nenek untuk mendekati anak itu atas sebab-sebab berkait hubungan antara mereka tak pernah menjadi baik dalam konteks ibu-anak.
Tetapi, setelah melahirkan anak kedua, seorang perempuan, dan sang nenek diambil untuk tinggal sebumbung kerana tiada yang menjaganya, Annie lembut hati, dan mengizinkan ibunya Ellen untuk mendekati anak bongsunya itu. Hanya kemudian untuk mendapati dirinya terperosok ke dalam himpitan psikologi yang menelan; Ellen sampai tidak membenarkan Annie untuk menyusukan anaknya sendiri. Sang nenek bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawab memberikan susu badan kepada cucu perempuannya itu. Aneh? Sudah tentu, kerana cerita ini memang aneh dan tidak akan patuh kepada norma dan dinilai yang sewajarnya.

Cucu perempuan ini, Charlie (Millie Shapiro) akan kita temukan dari awal filem ini berjalan; sebagai kunci pemula kepada semua kecelaruan yang akan berlaku. Dia mungkin saja seorang kanak-kanak istimewa yang penyendiri, tetapi dari Charlie semuanya tertumpu. Dan, kelakuan yang bersahaja dari budak inilah yang akan mendorong rasa tidak senang duduk sepanjang cerita ini berlangsung — hanya dengan bunyi klok ketika menjatuhkan lidahnya dari lelangit mulut.
Beri perhatian juga kepada bunyi-bunyian dan muzik yang digunakan untuk mengayakan filem ini. Ia bukan lagi bunyi-bunyi menakutkan seperti yang akan kita jangkakan dari sebuah filem seram, tetapi hadir sebagai sebuah set bunyi-bunyian yang minimal, dan pada kebanyakan masa berhasil menerbitkan rasa "sunyi" yang tidak menyenangkan.
Dan, oleh kerana menontonnya di layar besar, dari sekecil-kecil hinggalah sebesar-besar pemandangan yang dihamparkan dalam filem ini mendirikan keterperincian yang sangat penting untuk mengasingkannya daripada filem-filem lain dalam genre sama ketika ini. Detik peribadi yang paling saya nikmati mungkin di meja makan, selepas kematian mengerikan Charlie, ketika Annie yang tak lagi dapat membendung rasa dalam hati bingkas bangun dan meluahkan kerancuan serta rasa marah dalam dirinya. Ini adegan paling ngeri bagi saya.
Melihat Toni Collette membiarkan dirinya "dirasuk" amarah yang teramat, dengan baris ayat-ayat kuat yang keluar dari suara yang pecah, urat-urat di kepala yang menegang dan timbul jelas, mata terbeliak yang dengan bola matanya seperti ingin terkeluar dari soket, adegan ini sahaja sudah meletakkan Hereditary dalam lingkungan rasa seram dan ketakutan yang sama sekali terasing.
Dari sisi lain, filem ini mungkin agak sukar untuk dihadam. Jalan cerita perlahan, persoalan-persoalan yang timbul tidak pula ingin dirungkaikan dengan teratur (dan itu bukanlah tujuan hakiki sebuah filem) serta logika cerita seram/hantu yang mengambil pendekatan berbeza mungkin saja akan membuatkan sebahagian orang mengeluh. Tetapi, apa yang lebih penting dari itu, Hereditary sedang cuba menggambarkan peta psikologi yang berselirat, dengan perwakilan perasaan yang berserabut — yang mungkin mendiami dalam diri setiap seorang daripada kita tanpa sedar.
Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
