Paling Popular
Terkini

Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (Prism Berhad) berpendapat tidak ada keperluan badan itu dimansuhkan supaya hak mengurus harta intelek diberikan kepada badan tunggal seperti Recording Performers Malaysia Berhad (RPM).

Presiden Prism Berhad, Anuar Dahlan, tampil membuat kenyataan itu susulan cadangan dibuat supaya badan terbabit ditutup kerana kerana didakwa tidak melaksanakan tugas dengan cemerlang semasa menguruskan pembayaran royalti terhadap artis yang bernaung di bawahnya.

Katanya tidak ada sebab untuk Prism Berhad ditutup kerana semua urusan yang berkaitan dibuat dengan teratur.

“Kami amalkan prinsip yang telus, pentadbiran baik dan bertanggungjawab seiring dengan dasar diamalkan dalam Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO),” katanya kepada Malaysiakini.

Kelmarin Malaysiakini menyiarkan kenyataan Persatuan Karyarwan Malaysia (Karyawan) yang menggesa isu royalti persembahan awam artis diselesaikan dengan segera.

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez mendakwa berlaku kekeliruan dan kepincangan apabila wujud dua badan - Prism Berhad dan RPM - dipertanggungjawabkan untuk menguruskan royalti artis.

Dalam kenyataannya juga Freddie meminta agar kerajaan campur tangan untuk mencari penyelesaian yang dirasakan terbaik, selain mengusulkan soal kutipan royalti diserahkan sebulat-bulatnya kepada RPM.

Keluar surat peguam

Kata Anuar, dia tidak melihat di mana relevannya untuk Karyawan bercakap bagi pihak artis.

"Jika ingin membuat aduan, artis terbabit dinasihatkan supaya berjumpa terus dengan Prism Berhad.

“Justeru, tidak ada isu untuk Karyawan memberikan pandangan seperti itu,” katanya.

Anuar menambah sejak Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melantik Music Right Malaysia Bhd (MRM) selaku badan pelesenan tunggal untuk kutipan royalti muzik di Malaysia, nasib Prism Berhad berubah sama sekali.

Selain RPM, hal sama turut menimpa dua lagi badan pengutip royalti iaitu Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP) dan Public Perfomance Malaysia Sdn Bhd (PPM).

“Kami sudah tidak membuat sebarang kutipan sejak kerajaan umum hanya satu badan sebagai pengutip royalti iaitu MRM.

“Jika tidak boleh buat kutipan bermaksud kami juga tiada pendapatan. Tetapi disebabkan semangat juang ikhlas walau 10 bulan tiada gaji, kami masih jalankan tugas ini tanpa mempunyai kepentingan peribadi,” katanya.

Sementara itu, peguam Prism Berhad, Nivash Dhespal Singh berkata pihaknya menyerahkan surat tuntutan agar Karyawan menarik balik kenyataan yang dibuat kepada media.

Katanya, Karyawan perlu bertindak dalam masa tujuh hari bermula semalam atau langkah susulan berbentuk tindakan undang-undang akan diambil.

Nivash dalam pada itu menyatakan, pihaknya juga bercadang untuk memohon perintah injuksi bagi melarang Karyawan terus memburuk-burukkan imej Prism Berhad.

“Kami mengeluarkan surat untuk mengingatkan Karyawan agar menarik balik kenyataan pernah dikeluarkannya kepada media kerana ia memberi gambaran salah mengenai Prism Berhad.

“Kami satu badan yang lulus audit daripada MyIPO dan berpendapat ia perlu dikekalkan. Malah, tindakan Karyawan menyebabkan integriti kami mulai dipersoalkan oleh anggota Prism Berhad,” katanya.

Lihat Komen
ADS