Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pesan buat DBP: Sudah-sudahlah membodek
Diterbitkan:  Jul 11, 2018 4:59 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Sebagai sebuah institusi penting yang memartabatkan bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu mengubah cara menangani sesuatu isu selain menghapuskan budaya bodek dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Menyifatkan DBP sebagai ‘mati pucuk’, aktivis politik Hishamuddin Rais yakin situasi itu boleh diubah sekiranya budaya bodek yang sering membinasakan fitrah Melayu ditolak sama sekali.

Antara budaya bodek yang disentuh Hishamuddin ialah bagaimana institusi bahasa itu yang tidak sesekali mempersoalkan Umno kerana gagal menggunakan istilah Melayu untuk nama mereka.

Hishamuddin yang berhujah dalam majlis forum Memperkasa DBP Menuju Malaysia Baru di Menara DBP malam tadi berkata, hal itu berlaku disebabkan budaya bodek yang banyak membebalkan orang Melayu.

“Malah saya lihat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sedangkan ia tidak boleh berlaku.

“Begitu juga ketika Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggunakan bahasa Mandarin (dalam kenyataan rasmi) tetapi DBP langsung tidak memberi komen mengenainya.

“DBP sebagai institusi penting untuk pembudayaan negara bangsa, perlu bangun dan hidupkan kembali semangat Keranda 152,” katanya seperti dipetik BH Online.

Forum itu dikendalikan pensyarah Universiti Teknologi Petronas, Dr Muhaimin Sulam. Turut menjadi panel Dinsman dan Pengarah Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional (PUSAKA), Eddin Khoo.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Adzis Abas, dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran juga turut hadir.

Sementara itu, Dinsman berkata, segelintir rakyat yang gagal berbahasa Melayu selepas lebih enam dekad negara merdeka menunjukkan DBP sekali lagi gagal dalam memainkan peranannya untuk memperkasakan bahasa Melayu.

“Malah orang Melayu hari ini nampaknya tidak malu mengaku mereka tidak pandai berbahasa Melayu.

“Otak mereka terjajah hingga menyangkakan semua dalam bahasa Inggeris bermutu dan apa yang dilakukan DBP mengenainya?" katanya.

Lihat Komen
ADS