Seni & Hiburan Malaysiakini

Syamsul Debat tetap 'bahagia' walau kalah PRU14

Nadia Azam  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Menjadi calon Umno adalah pengalaman bermakna buat penceramah bebas Syamsul Debat apabila dia berasa seolah-olah memasuki alam lain selama tempoh berkempen untuk pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Dia memikul tugas yang berat dalam cubaan pertamanya dalam PRU dan berdepan dengan tiga pencabar lain bagi merampas semula kerusi dewan undangan negeri (DUN) Sikamat yang dimenangi kali terakhir oleh Umno pada 2004.

Menyedari hal itu, katanya, dia perlu meletakkan usaha yang bukan biasa-biasa, tetapi segala-galanya menjelang "ibu segala PRU" pada 9 Mei lalu.

"Saya melalui pengalaman yang sangat lain, seolah-olah saya berada di alam lain. Sibuk sangat, sampaikan misalnya terpaksa bekerja sejak awal subuh hari ini dan berterusan sehingga jam 2 atau 3 pagi keesokannya hari.

“Sempat tidur pun cuma dua hingga tiga jam saja sehari,” kata pemilik nama asal Syamsul Amri Ismail itu kepada Malaysiakini.

Pada PRU ke-14 calon Pakatan Harapan Aminuddin Harun mempertahankan kerusi DUN Sikamat dengan majoriti 3,413 undi menewaskan Syamsul yang memperoleh 6,419 undi.

Calon PAS pula sekadar mengumpul 1,331 manakala calon bebas mendapat 15 undi.

Bagi peluang orang lain

Aminuddin kemudian dilantik menjadi menteri besar Negeri Sembilan selepas BN tumbang di negeri itu.

Biarpun kemenangan tidak berpihak kepada Syamsul, dia berpendapat ada hikmah di sebalik setiap peristiwa yang berlaku dalam hidupnya.

Sekurang-kurangnya kata watak yang mula menarik perhatian ramai selepas menyampaikan ucapan perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno 2016, dia berpeluang menimba banyak pengalaman manis bergiat di lapangan politik.

Ditanya sama ada dia akan merindui saat-saat membuat lawak di Perhimpunan Agung Umno selepas kali terakhir melakukannya kira-kira dua tahun lalu, Syamsul menjawab dengan berseloroh: “Nak beri peluang kepada orang lain pula. Kalau asyik tengok muka saya saja mungkin orang terasa bosan.”

Sementara itu di sebalik berita peletakkan jawatannya dalam parti, Syamsul berkata dia masih mengekalkan keanggotaan dalam parti itu.

Katanya dia cuma melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Pemuda Umno Seremban.

Pada masa sama, Syamsul turut melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Tetap Pemuda Umno Cawangan Pancor, Ketua Penerangan Umno Cawangan Pancor dan Penceramah Biro Penerangan Umno Malaysia.

Kini dia menumpukan perhatian pada Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM).

Jangan pula watak tak kena

Anak jati Negeri Sembilan itu berkata, dia tetap meneruskan aktivitinya seperti biasa, seperti menyampaikan ceramah dan menyebarkan dakwah kepada orang ramai.

Dalam pada itu, menjelaskan mengenai gelaran ustaz yang diberikan kepadanya, Syamsul berkata, biasanya ia hanya menjadi sebutan segelintir pihak dan bukan datang daripada dirinya sendiri.

“Saya orang yang memberi ceramah motivasi. Dalam bahasa Arab pula, ustaz pula bermaksud guru.

“Mereka yang tidak bertanya, biasanya akan meletakkan istilah ustaz pada kain rentang yang disediakan untuk sesi ceramah,” katanya.

Selain memenuhi masa lapangnya sebagai penceramah, Syamsul, 40, juga mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan.

Percubaan pertamanya sebagai pelakon ialah menerusi kisah yang mengangkat tema suku kaum dan adat Negeri Sembilan, This Is Pilah The Movie yang ditayangkan 21 Jun lalu.

Ktanya, dia tidak menolak sekiranya suatu hari nanti ada pengarah atau mana-mana produksi berminat untuk menawarkan watak lebih besar kepadanya, asalkan ia bersesuaian dengan imejnya sebagai penceramah.

“Apabila kita ditawarkan sesuatu peranan, ia bermakna khidmat kita diperlukan, jika masa dan peranan itu sesuai saya akan terima.

“Tetapi, jangan pula diberi watak yang boleh mengundang kontroversi macam pemuja ilmu hitam yang syirik,” katanya.