Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Tanah Akhirku papar realiti rakyat berbilang kaum - Erma

Teater Tanah Akhirku yang bakal menemui penonton bersempena bulan Kemerdekaan Ogos depan memaparkan realiti masyarakat pelbagai bangsa di negara ini.

Erma Fatima berkata, barisan pelakon yang terdiri daripada pelbagai kaum juga menjadi elemen utama yang menunjukkan tiada jurang perkauman dalam naskhah berkenaan.

Bahkan, Erma yang sudah lama tidak bernaung di bawah produksi selain syarikat milik sendiri menyatakan kesanggupan menjadi sebahagian pelakon apabila menerima lamaran seorang penerbit berketurunan Cina yang masih baru dalam bidangnya.

“Saya sudah berusia 50 tahun, tiada istilah jurang perkauman seperti itu dalam kehidupan yang saya lalui selama ini.

“Saya berada di sini kerana inilah pelapis-pelapis teater akan datang yang perlu diberi ruang dan peluang untuk berkarya oleh penggiat senior dalam industri,” katanya kepada Malaysiakini.

Tanah Akhirku mengisahkan kehidupan gadis berasal dari Tanah Besar China, Yin Feng selepas melarikan diri daripada perang saudara ke Tanah Melayu bersama ibu dan adiknya.

Selepas menetap beberapa lama, Yin Fen semakin jatuh cinta dengan Tanah Melayu yang dianggap seperti tanah air sendiri, selain kehadiran seorang jejaka Melayu yang berjaya menawan hatinya.

Bertindak selaku penerbit, Mei Fen Lim, juga membawa watak Yin Feng dalam naskhah yang bakal menemui penonton bermula 28 Ogos hingga 2 September depan di Istana Budaya itu.

Penuntut jurusan teater di Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu juga pernah mempersembahkan naskhah berkenaan untuk dinilai sewaktu berada di tahun akhir.

Naskhah yang mendapat arahan Ashraf Zainal itu turut dijayakan pelakon Izzue Islam, Nina Nadira, Nave VJ dan Angeline Tan.

Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menjadi penaung bagi pementasan dianjurkan Gold Ray Sdn Bhd itu selain ia mendapat kerjasama dari Istana Budaya dan Aswara.

Bersesuaian dengan situasi berlaku dalam negara, Erma berpendapat selain menyemarakkan perasaan cintakan negara, Tanah Akhirku juga mempromosikan kemanusiaan dan kasih-sayang sebagai nilai yang perlu dipupuk tidak mengira perbezaan bangsa.

“Dengan keadaan politik kita di mana terdapat orang Melayu dan Cina berpecah belah, saya berasakan idea ini amat baik. Iaitu paparkan kisah perkauman agar masyarakat dapat melihat penyatuan berlaku. Ini contoh baik untuk satukan kasih sayang.

“Kerana Kasih sayang bukan setakat berlaku dengan kekasih tetapi dengan masyarakat dan juga bangsa,” katanya.

Lihat Komen
ADS