Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
ITBM tutup? CEO lega dengan kenyataan menteri
Diterbitkan:  Jul 19, 2018 6:59 PM
Dikemaskini: Nov 8, 2018 3:48 AM

Di tengah spekulasi penutupan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), pengarah urusan merangkap ketua pegawai eksekutifnya Mohd Khair Ngadiron kelihatan lega dengan kenyataan terbaru menteri berkaitan.

Khair berkata, kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk memperkasa semua agensi bawah kementerian itu secara tidak langsung menghapuskan kebimbangan berkenaan.

ITBM antara agensi yang diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan, selain Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perbadanan Kota Buku (PKB) dan Majlis Buku Kebangsaan (MBKM).

“ITBM berterima kasih atas kenyataan dibuat Dr Maszlee ketika berforum dalam program Bicara Minda di Karangkraf, Shah Alam itu hari ini.

"Ia dilihat sekali gus menghapuskan persepsi dan kebimbangan banyak pihak berhubung khabar angin bahawa operasi ITBM berkemungkinan ditutup,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi terhadap tulisan penyumbang luar Malaysiakini, Mohd Harun Makmun, bertajuk ITBM ditutup? hari ini.

Tulisan itu antara lain menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kemungkinan tersebut.

Sumber yang rapat dengan ITBM sebelum ini memberitahu Malaysiakini ITBM berdepan beberapa pilihan, sama ada ditutup, dikurangkan pekerja, digabungkan dengan DBP atau dijual, susulan gagal menjana keuntungan.

Pihak itu menjangkakan langkah terbabit mungkin berlaku dalam tempoh beberapa bulan lagi.


Baca ITBM ditutup?


Bagaimanapun, pihak yang rapat dengan Maszlee pula berkata belum ada keputusan dibuat berkaitan masa depan syarikat berkaitan kerajaan itu.

Sebarang keputusan juga, kata sumber, dibuat dalam rangka memperkasakan DBP, khususnya berkaitan cadangan penyerapan institut itu sebagai satu cabang bawah badan berkenaan.

Sementara itu, selari dengan hala tuju kerajaan baru, Khair berkata ITBM akan menambah baik keseluruhan operasi dan menghasilkan formula perniagaan supaya mampu menjana keuntungan.

Bagaimanapun, Khair menegaskan walaupun ITBM sebuah syarikat tetapi ia distruktur untuk berfungsi sebagai “institusi yang tidak berteraskan pulangan material, sebaliknya menyasarkan pembangunan dan perkembangan intelektual bangsa”.

“Hal ini berikutan masalah kekangan modal yang dihadapi ITBM, kerana walaupun bersifat syarikat, namun operasi ITBM yang keseluruhannya mencakupi aktiviti berkaitan buku, sastera dan bahasa lebih berpaksi kepada tanggungjawab sosial yang cenderung menyasarkan pembangunan ilmiah serta tamadun bangsa,” katanya.

Lihat Komen
ADS