Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

ULASAN | Tempoh hari saya melawat pameran buku seni drama di Pusat Sastera Timur Perpustakaan Negara Rusia.

Saya teruja apabila melihat di tengah-tengah barang pameran, ada buku Drama Pentas oleh Johan Jaaffar yang diterbitkan ITBM pada tahun 2015.

Selepas membelek-belek buku itu saya menemui drama Sang Puteri. Terus saya teringat pada pengalaman menonton pementasan drama itu beberapa tahun lalu.

Mungkin pengalaman itu masih utuh di ingatan kerana jarang sekali skrip teater yang bermutu dan rombongan teater yang cukup matang bergandingan bersama-sama.

Memang, karya Johan Jaaffar yang padat dan imajinatif itu memberi ruang kepada pelakon kumpulan teater Rimba ARTISUKMA UKM yang disutradara oleh Nor Azlan Shah Mohd Redhuan untuk berinterpretasi.

Dan hal itu menentukan keberhasilannya. Lagi pilu, kalau meninjau teater itu dari perspektif peristiwa yang sedang terjadi di Malaysia, maka boleh melihat relevansi teater itu juga.

Dua dunia di satu bumi

Dalam teater itu dua dunia dipertentangkan. Satu, dunia petani yang bekerja bertungkus lumus untuk mendapat nafkah hidup dan menyara keluarganya.

Kedua, dunia golongan atasan yang berkuasa dan berfoya-foya saja meskipun kesejahteraan mereka tergantung kepada kerja berat petani dari dunia pertama.

Para pelakon sempat memperlihatkan sifat watak-watak yang dimainkan dengan agak sempurna.

Kesengsaraan hidup para petani menimbulkan simpati dan timbang rasa mendalam pada para penonton. Begitu realistik dunia itu dalam pengisahan para pelakon (Antaranya Mohd Aiti Semin, Kurnia Hasna Mustafa, Noor Akmal Khazali).

Berguru pada Stanislavsky

Aktor-aktor yang memainkan watak dalam dunia kedua (Hanizan Che Mat dalam peranan Tuanda dan Siti Syarina Abdul Khalid dalam peranan Pamanda) mungkin terlalu menitikberatkan unsur satira sehingga timbul kesan seakan-akan mereka sendiri tidak percaya pada apa yang dimainkannya.

Pada hal dunia kedua itu juga realiti hidup seperti kampung dengan petani yang bernasib malang itu.

Benar juga penampilannya menarik dan sering memancing ketawa para penonton tetapi ada baiknya selalu ingat tentang “supertujuan” pertunjukan (istilah reformator teater Rusia Stanislavsky): bermain untuk apa?

Stanislavsky pernah mengutarakan pendapat bahawa permainan seorang aktor mesti semaksimumnya bersifat realistik.

Beliau menjadi pengarah Panggung Teater Seni Moscow dan berulang kali memaksakan para aktor mengulangi adegan tertentu dengan tetap berkata:

“Saya tidak percaya! Berlakon sedemikian rupa sehingga saya boleh percaya.” Keseriusan dalam memainkan adegan satira ialah kunci keberhasilan penuh sebuah pementasan teater.

Di latar belakang ini mungkin peranan Pujangga saja (yang dengan gemilang dimainkan oleh Mohd.Azli Othman) cukup meyakinkan.

Personaliti yang berintelek tinggi itu ternyata asing baik untuk dunia tani mahupun untuk dunia atasan.

Keintelekannya tidak diperlukan oleh sesiapa pun dan ini memang satu tragedi untuk orang berintelek dan masyarat pada amnya.

Konflik selesai, apa seterusnya?

Dua dunia itu seakan-akan selari dan tidak bertembung muka meskipun tergantung erat datu sama lain.

Tetapi perlakuan dua budak petani yakni Andak (Nor Farid Yaakub Raman) dan Inah (Norashikin Md Anwar) membawa unsur pertentangan ke dalam kehidupan dua dunia itu (dan ke dalam pementasan pula).

Bangkitlah ketidakpuasan antara golongan petani dan antara golongan berkuasa juga. Akhirnya persengketaan seakan-akan selesai dan status quo dipulihkan tetapi pasti kedua dunia itu berubah dan tak boleh hidup seperti sebelumnya.

Penghujung teater menjanjikan dua kemungkinan kelangsungan cerita: rakyat jelata tetap menderita dan menuruti kehendak golongan atasan ataupun ketidakpuasan mereka akhirnya meletup dan mengubah nasib mereka.

Teater itu memberi kemungkinan kepada para penonton (dan ini sifat kreativiti tinggi teaternya) memutuskan sendiri apakah akan berlaku selanjutnya.

Teater itu boleh dianggap juga sebagai peringatan kepada golongan atasan supaya tidak melupakan rakyat jelata yang menciptakan segala kekayaan negara.

Kejayaan baru

Pementasan teater “Sang Puteri” dengan permainan pelakon muda yang agak matang dan meyakinkan pasti ialah kejayaan baru dalam sejarah panggung teater di Malaysia.

Sumbangan daripada penata artistik, pengurus pentas, pengarah set, penata cahaya, penata audio, pengarah busana dan lain-lain tak kurang pentingnya. Ini seperti juga sumbangan para penari dan pemuzik (Kombo Pusat Kebudayaan UKM) yang menciptakan suasana seperlunya sebelum dan selama pementasan itu.


DR VICTOR A POGADAEV adalah naib presiden Persatuan Nusantara Universiti Negara Moscow. Bekas profesor madya Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya itu terlibat dalam pelbagai penerbitan kamus bahasa Melayu, Indonesia dan Rusia. Beliau adalah penyandang gelar Tokoh Persuratan NUMERA (2013), Warkah Kehormatan kerajaan Rusia untuk sumbangan terhadap perkenalan bahasa Rusia d luar negara (2014) dan anugerah sastera oleh A Poetry Initiative of Bangladesh (Kathak).

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS