Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mamat mahu penonton terbahak-bahak lihat Kak Limah

Sebelum tampil dengan jalan cerita dirasakan terbaik, Mamat Khalid menjelaskan dia pernah dirundung kebimbangan yang berat ekoran nasib malang yang pernah menimpa karya-karya dihasilkannya sebelum ini.

Enggan pisang sama berbuah dua kali, Mamat berazam untuk menzahirkan Hantu Kak Limah dalam bentuk lebih santai.

Menjelaskan lebih lanjut, Mamat berkata, Hantu Kak Limah yang bakal menjengah pawagam 9 Ogos ini boleh memberikan kepuasan dan keseronokan kepada penonton.

“Filem Lebuhraya Ke Neraka yang saya hasilkan sangat tak menjadi (dari segi kutipan).

"Ia mengisahkan tentang remaja yang mati dan melalui perjalanan ke alam barzakh, tetapi penonton tak mahu tengok filem macam itu.

“Saya nak penonton ketawa terbahak-bahak, nak penonton rasa tenang.

"Kalau (jalan cerita) kompleks anda takkan seronok, jadi benda itu saya hapuskan dan kita permudahkan,” katanya yang ditemui pada tayangan perdana Hantu Kak Limah di Petaling Jaya kelmarin.

Kampung diganggu roh

Menurut Mamat, 55, pengalaman sememangnya mematangkan fikiran, justeru dia kini mengetahui sesebuah jalan cerita yang terlalu rumit boleh menyebabkan penonton "menolak" sesebuah filem.

“Kompleks adalah musuh ketat filem di Malaysia. Penonton akan menolak kerana tidak faham, jadi saya kena hasilkan filem yang mudah,” katanya.

Hantu Kak Limah ialah filem genre komedi seram berkisahkan perjalanan hidup Kak Limah selepas dia berkahwin dengan seorang lelaki yang berusia jauh lebih muda daripadanya.

Bagaimanapun, watak dibawa dramatis Delimawati itu meninggal dunia tiba-tiba dan kematiannya meninggalkan misteri.

Kemudian, berlaku pelbagai insiden membabitkan roh Kak Limah yang dikatakan menganggu ketenteraman warga Kampung Pisang.

Keadaan huru-hara itu menyebabkan Hussin (Datuk Awie) dan rakan-rakannya pergi mendapatkan khidmat Solihin (Zul Ariffin) seorang guru silat yang didakwa mempunyai kebolehan menghalau hantu.

Untuk rekod, Hantu Kak Limah adalah filem keempat membabitkan cerita Kampung Pisang selepas Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

Filem yang mengambil tempoh 10 bulan untuk disiapkan itu turut dijayakan pelakon seperti Uqasha Senrose, Mus May, Ropie, allahyarham Rab Khalid, TJ Isa, Pekin Ibrahim, Sabri Yunus, dan Datuk Seri Vida.

Mengulas mengenai kesihatannya, Mamat yang mempunyai masalah jantung memberitahu dia masih boleh meneruskan kegiatan harian sebagai seorang pengarah seperti biasa.

Bagaimanapun, dia dinasihatkan supaya menjauhkan diri daripada sebarang tekanan.

“Sewaktu proses menyiapkan Hantu Kak Limah pun saya sakit. Tadi nak naik tangga, jalan sikit dah kena berehat kemudian baru sambung (berjalan).

"Dalam keadaan itu pun, saya berasakan kerjaya sebagai pengarah memang seronok malah saya bersyukur walaupun sakit, Hantu Kak Limah berjaya disiapkan," katanya.

Lihat Komen
ADS