Selepas melakar sejarah dengan kutipan pecah panggung berjumlah RM11 juta di Malaysia, Singapura dan Brunei, kini filem Dukun bakal menembusi pasaran Indonesia melalui 33 pawagam bermula esok.
Menurut Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, tahun ini merupakan tempoh kejayaan luar biasa untuk filem syarikat itu kerana berjaya menembusi pasaran Indonesia.
Tambahnya, Astro Shaw berharap filem arahan Dain Said itu dapat diterima ramai dan mendapat sambutan yang menggalakkan di negara terbabit.
“Sebelum ini Dukun telah menyertai New York Asian Festival dan ditayangankan di sana.
“Dukun ke Indonesia ini satu perkembangan yang baik untuk filem tempatan malah penonton di sana amat menantikannya setelah mereka mengetahui filem itu melalui media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.
Tayangan Dukun akan melibatkan beberapa kota terkenal seperti Jakarta, Depok, Tangerang, Bogor, Bekasi, Serang, Bandung, Semarang, Makassar, Bali, Pekan Baru, dan Batam dengan Feat Pictures sebagai pengedar filem.
Dukun berkisahkan Karim (lakonan Faizal Hussein), seorang peguam yang sedang bergelut dengan kerjayanya akibat kemurungan dan gangguan emosi berikutan kehilangan orang yang tersayang iaitu isterinya, Sara (lakonan Avaa Vanja) dan anak perempuannya, Nadia (lakonan Elyana).
Dalam masa yang sama, Karim ditawarkan peluang untuk menjadi peguam kepada seorang OKT (Orang Kena Tuduh) bernama Diana Dahlan (lakonan Datin Seri Umie Aida), yang berjanji akan mencari anaknya.
Diana seorang penyanyi kelab malam dihadapkan ke mahkamah kerana disyaki terlibat dalam satu kes pembunuhan.
Pihak polis menjumpai mayat di rumahnya yang disyaki berpunca daripada aktiviti ilmu hitam diamalkan untuk kekal cantik dan berkuasa.
Diana dikatakan seorang dukun yang mempunyai tongkat sakti dari suku kaum Batak. Melalui proses perbicaraan dan penyiasatan yang dilakukan oleh ASP Talib (lakonan Nam Ron); sisi hitam Diana terungkai satu demi satu.

Dalam pada itu, Najwa (gambar) berkata, Dukun mempunyai potensi untuk terus mengembara ke negara-negara yang lain pada masa akan datang.
“Kami juga sedang menantikan beberapa negara lain yang akan menayangkan filem ini serta beberapa festival filem antarabangsa di mana Dukun bakal dipertandingkan,” katanya.
