Seni & Hiburan Malaysiakini

Pulang dan misteri perasaan orang Melayu

Haizir Othman  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

ULASAN FILEM | Selalunya pada hari Aidilfitri - sewaktu kita mengunjungi ibu-ibu dan bapa-bapa saudara - akan kita dengar cerita-cerita zaman muda mereka dahulu.

Ia ialah tentang zaman ubi kayu jadi makanan, menulis atas papan batu, getirnya membuka tanah baru dan lain-lain.

Kisah-kisah ini apabila didengar terasa begitu jauh dari sudut emosi dan logik walaupun baru hanya satu atau dua generasi zaman itu ditinggalkan.

Ada satu kisah yang kami - adik-beradik saya - baru tahu sekitar beberapa tahun lalu dan ia melibatkan arwah ibu dan adik-beradiknya yang terpisah lantaran ibu diambil sebagai anak angkat sebuah keluarga agak berada.

Ia diceritakan adik ibu, Mak Lang, dalam beberapa siri kunjungan ke rumahnya pada hari raya.

Ya, kisah ini mengambil masa bertahun-tahun untuk diceritakan dan sehingga raya lalu, ia masih belum habis.

Daripada cerita Mak Lang, kami dapat mengesan kesukaran masyarakat zaman dulu yang dihimpit kemiskinan sehingga membentuk dimensi sosial dan emosi peribadi.

Tidak semua difahami

Ibu tidak dibenarkan keluarga angkatnya berjumpa adik-adiknya atas kebimbangan hubungan rapat mereka bakal memisahkan ibu dengan keluarga baru - andaian kasar yang hanya mereka fahami pada waktu itu.

Kisah ini - dan kisah-kisah yang kami kutip daripada orang tua-tua lain - menunjukkan resam berbeza ibu-ibu dan ayah-ayah kita menanggapi zaman.

Semua itu ingin diingatkan kembali kepada kita oleh Kabir Bhatia, Ahmad Izham Omar dan Mira Mustaffa lewat filem Pulang yang sedang ditayangkan di pawagam ketika ini.

Pulang menceritakan misteri perasaan orang Melayu yang kompleks dan sukar diduga seperti dalamnya lautan.

Percintaan Othman dengan Che Thom kita ketahui, tapi tidak kita fahami sebagai warga zaman ini, walau sabar kita tunggu hingga ke penghujung cerita.

Jika wujud salah faham antara kamu dengan orang tua (biasa kisah sebegini dirakam drama Melayu, terutamanya musim raya), jurang generasi tersebut berkemungkinan besar disebabkan kita tidak berkongsi sentimen dan emosi yang sama dengan mereka.

Tentang bermacam-macam hati

Sementara orang zaman ini lebih straight to the point, vokal dan berterus-terang, orang zaman dulu lebih halus, menyembunyi, memendam rasa serta tidak mahu bercerita.

Ini satu perubahan sebesar 180 darjah, berlaku hanya dalam tempoh beberapa puluh tahun ini. Mungkin akibat fenomena globalisasi dan hegemoni budaya dari sebelah barat dunia.

Akibat memendam rasa dan memilih untuk tidak berkomunikasi ini agak tragik, bebanan perasaan itu dibawa ke mati. Peribahasa Melayu punya kosa kata yang banyak berkaitan ‘hati’ ini misalnya:

  • susah hati
  • bawa hati
  • jauh hati
  • patah hati
  • sakit hati

Ia menerangkan betapa hati bagi Melayu adalah wilayah luas tak terteroka sepenuhnya, menyediakan jalan berselirat dan banyak potensi tak terduga.

Othman - di sebalik kalimat keramat “Aku ingin pulang, Thom!” - tetap punya alasan sendiri atas sikap berdiam diri terhadap isterinya nun jauh di Serkam.

Sikap ini tersimpan dalam set perasaan Melayunya yang memendam rasa dan "bawa hati" seperti disebut tadi.

Bahayanya sikap ini ialah, ia tidak dapat difahami Che Thom sehingga ke penghujung hayatnya, malah ia memakan emosi Othman sendiri.

Bahkan ia memerlukan dua generasi (anak mereka, Omar dan cucu mereka, Ahmad) pula untuk membawa kisah sebenar diketahui dan sehingga itu berlaku, tragedi telah pun terjadi.

Di sinilah sayunya kisah ini terletak. Ia kira-kira serupa dengan kes kegagalan komunikasi antara Zainuddin dengan Hayati selepas kematian Aziz dalam kisah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Kita mahu menyalahkan mereka atas apa yang terjadi tetapi di situlah sebenarnya letaknya epik kisah ini yang dikenang sehingga sekarang.

Selainnya, kisah anak-anak Melayu Melaka jadi kelasi di kapal Inggeris, hubungan dengan rakan Cina pada zaman Jepun, dan lain-lain yang jadi latar sosiopolitik filem ini adalah fragmen-fragmen sejarah yang boleh dipelajari sekali gus jadi modal patriotisme buat menyemai semangat cinta negara.

Pulang wajar dianggap a breath of fresh air dalam sinema Malaysia. Kecuali babak-babak CGI berlebihan yang kadang-kadang mengganggu, pemaparan budaya Melaka dan latar Serkam yang tidak tepat, keseluruhannya filem ini wajar dipuji dan diangkat tinggi-tinggi.


HAIZIR OTHMAN anak kelahiran Melaka. Dulunya dikelilingi buku-buku akademik, kini sedang membiasakan diri dengan persekitaran baru politik nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.