Koroner dan pihak yang terlibat dalam inkues kes model warga Belgium Ivana Esther Robert Smit yang maut terjatuh dari sebuah unit kondominium Disember tahun lalu melawat beberapa lokasi kejadian di CapSquare Residences di Dang Wangi, hari ini.
Koroner Mahyon Talib diiringi Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi, peguam pemerhati bagi pihak keluarga Ivana, Sankara Nair, beberapa anggota polis serta saksi ketiga inkues yang tinggal di unit yang terletak di tingkat enam iaitu tempat Ivana terjatuh, Suparman seorang warga Indonesia tiba di lokasi kejadian pada 1.20 tengah hari dan lawatan itu berakhir satu jam setengah kemudian.
Mereka melawat beberapa lokasi di sekitar kondominium mewah itu sebelum menuju ke tingkat enam dan sebuah unit di tingkat 20 yang didiami pasangan suami isteri warga Amerika dan Kazakhstan, di mana Ivana kali terakhir dilihat.
Namun, hanya media antarabangsa dibenarkan melawat kedua-dua unit kondominium tersebut manakala media tempatan diminta menunggu di sekitar lobi kondominium.
Terdahulu, saksi kedua inkues, L/Kpl Cornelius Nandung yang bertugas sebagai jurufoto Polis Diraja Malaysia memberitahu mahkamah dia telah mengambil 45 keping gambar di kediaman pasangan berkenaan.
"Saya telah mendapat arahan daripada pegawai penyiasat untuk mengambil gambar di lokasi kejadian pada 10 malam, 12 Dis 2017.
"Saya telah mengambil 45 keping gambar sepanjang berada di sana dan antara gambar yang diambil ialah sebuah kotak yang mengandungi alat permainan seks dan sekotak kondom yang telah dibuka ditemui di dalam sebuah bilik di unit sama," katanya pada prosiding hari pertama inkues bagi menentukan sebab kematian model itu.
Ketika ditanya Sankara sama ada kondom itu telah digunakan, Cornelius menjawab ringkas: "tidak pasti.”
Sementara itu, Suparman pula memberitahu mahkamah bahawa dia terus menelefon pihak pengurusan kondominium setelah melihat penghadang balkoni di unitnya runtuh.
"Saya tidak melihat sebarang kelainan selain daripada penghadang balkoni yang runtuh dan pihak pengurusan ada memberitahu bahawa kerosakan sebegini hanya terjadi sekiranya ada benda yang jatuh,” katanya.
Ketika disoal Sankara mengapa dia tidak berminat untuk melihat dengan lebih dekat, Suparman berkata: "Apa yang saya fikir ketika itu hanyalah ingin membaiki penghadang balkoni yang runtuh.”
Pada 7 Dis 2017, akhbar melaporkan mayat model berusia 19 tahun yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol itu ditemukan tersangkut di balkoni sebuah unit kediaman di tingkat enam kondominium tersebut dalam keadaan bogel kira-kira 12 tengah hari.
Difahamkan, pada malam sebelum kejadian, mangsa telah keluar berhibur di pusat hiburan bersama pemilik kediaman di tingkat 20 itu yang merupakan seorang lelaki warga Amerika Syarikat dan isterinya warga Kazakhstan.
Pendengaran di hadapan Mahyon yang merupakan Hakim Mahkamah Sesyen bersambung Jumaat ini.
- Bernama
