Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Terlalu bergantung pada media sosial diibarat sebagai suatu penyakit yang membawa pengaruh negatif sekali gus memberi kesan terhadap minda dan gaya hidup masyarakat sekiranya tidak dikawal.

Justeru, atas keperluan untuk mengimbangi pengaruh itu, Diana Danielle menyahut cabaran untuk menjayakan filem Gol & Gincu 2.

Kata aktres berusia 26 tahun itu, isu semasa yang diketengahkan dalam arahan sulung Umi Salwana Omar itu mampu membentuk corak pandangan masyarakat.

“Terlampau banyak masalah berkaitan remaja yang sering ditekankan tetapi mungkin masih tiada jalan penyelesaian.

“Ini masalah teruk kepada generasi kita, mereka terlalu cepat percaya apa yang selalu dilemparkan di media sosial, atau kadangkala sampai bunuh diri pun nak tunjuk,” katanya.

Menurut Diana, Gol & Gincu 2 sarat dengan mesej menyentuh hati dan boleh meresap ke jiwa untuk penonton melalui peranan watak utama wanita yang diketengahkan.

“Kisah ini mungkin membantu memberi kesedaran kepada orang muda dan ibu bapa,” katanya.

Cerita asal Gol & Gincu - yang disiarkan pada 2005 - membawa tema percintaan.

Ia menyaksikan perseteruan membabitkan watak Putri dilakonkan Nur Fazura dengan Sasha (Sazzy Falak) untuk berebut teman lelaki (Ashraf Sinclair).

Selepas 13 tahun, Gol & Gincu 2 hadir dengan barisan watak dan kisah baru yang lebih dekat dengan masyarakat apabila berkisahkan penuntut universiti yang memiliki nama sama tetapi mempunyai personaliti berbeza.

Pergaduhan depan khalayak ramai hingga menjadi tular di dalam talian mengakibatkan Zakiah atau Zak (Diana) dan Zakiah atau Yaya (Ummi Nazeera) dikenakan tindakan disiplin dengan melakukan kerja-kerja amal.

Gol & Gincu 2 turut dibarisi pelakon seperti Syafiq Kyle, Aedy Ashraf, Ziana Zain, Sherry Alhadad selain mengekalkan dua pelakon utama versi terdahulu, Sazzy Falak serta Sharifah Amani.

Mengulas cabaran membawa watak Zak, seorang yang aktif bermain futsal, isteri kepada aktor Datuk Farid Kamil itu berkata, ia tidaklah terlalu sukar walaupun sukan itu bukan menjadi kegemarannya.

“Saya langsung tidak berminat bermain bola sepak dan tidak reti main pun. Saya seorang pemain bola keranjang, tapi ini saya anggap satu cabaran dan perkara baru.

“Nasib baik saya tidak perlu tunjuk pandai sebab watak itu underdog,” katanya.

Lihat Komen
ADS